Dua ayat ini sangat popular digunakan dewasa ini, lebih-lebih lagi iklan pemasaran di media sosial Facebook yang bertujuan mengajak orang ramai menghadiri kelas pembelajaran saham berbayar. Walhal, banyak organisasi yang berkaitan de­ngan pasaran modal mengadakan pembelajaran saham secara percuma kepada orang ramai.

Jika kita perhatikan ayat copy writing ini, ia merupakan satu strategi pemasaran untuk menarik lebih ramai orang menyertai seminar atau kelas tersebut. Namun, secara realiti kadang kala ia tidak menggambarkan keadaan yang sebenar di dalam dunia saham.

Kira-kira 20 tahun dahulu, orang ramai pergi ke syarikat broker saham untuk membuka akaun urus niaga saham de­ngan tujuan untuk membeli dan menjual saham. Tujuan membeli dan menjual saham hanya untuk meraih keuntungan dari perbezaan harga beli dan jual serta mendapatkan pembayaran dividen. Jarang yang membuka akaun urus niaga saham tanpa melakukan transaksi saham. Mereka ini membeli saham di pasaran terbuka dan juga memohon saham IPO.

Pelanggan pada masa itu ba­nyak bergantung kepada remisier dari segi mendapatkan maklumat saham sehinggakan dalam membuat pemilihan saham apa yang ingin dibeli oleh kerana di waktu itu tiada kemudahan internet serta ilmu analisis fundamental dan teknikal tidak diberi penekanan dalam pemilihan saham. Kebanyakannya membeli saham dengan mengikut orang lain atau membeli saham semberono. Sekiranya ada yang membuat kajian, ianya terlalu sedikit sekali.

Dan ketika itu juga, orang ramai jarang melabur dengan modal tunai RM100 kerana di waktu itu orang ramai banyak melakukan urus niaga saham secara kontra dan harga saham agak mahal. Modal tunai juga tidak diperlukan ketika membeli saham. Mereka biasanya akan menunggu hari terakhir untuk membayar keseluruhan nilai pembelian pada hari terakhir penyelesaian. Ini kerana mereka hanya akan membayar jumlah kerugian kontra ataupun menerima untung kontra tanpa membayar keseluruhan jumlah pembelian pada hari yang ditetapkan.

Selepas pasaran saham pulih dari kemelut krisis kewang­an Asia 1997, Bursa Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti telah banyak membuat pembaharuan dan kawal selia pasaran modal. Ini termasuk bank-bank pelaburan yang mengenakan berbagai syarat kepada pelanggan yang ingin membuka akaun urus niaga saham. Satu daripada syarat ialah meletakkan sejumlah wang tunai ke dalam akaun amanah pelanggan untuk mendapatkan kemudahan had membeli.

Had membeli ini boleh jadi dua atau tiga kali ganda modal tunai yang berada di dalam akaun amanah pelanggan. Sebagai contoh, jika pelanggan mempunyai modal tunai RM1,000, maka dia boleh membeli saham di antara RM2,000 hingga RM3,000 sahaja. Ini berbeza pada 20 tahun dahulu di mana remisier bebas memberikan had membeli kepada pelanggan serta mengikut budi bicara pihak broker saham.

Berbalik kepada topik hari ini, adakah modal RM100 itu mencukupi atau sesuai untuk membeli saham?.

Untuk makluman pembaca, jumlah unit saham telah dipe­cahkan atau diubah dari satu lot bersamaan 1,000 unit saham kepada satu lot bersamaan 100 unit saham. Perubahan ini telah dibuat oleh bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi untuk memberi peluang golongan bawahan atau yang bermodal kecil untuk membeli saham-saham yang mahal harganya dalam unit yang kecil bertujuan menggalakkan rakyat Malaysia memiliki ekuiti syarikat tersenarai.

Contohnya, saham Maybank yang berharga RM9.66 atau RM9,660 untuk 1,000 unit saham dapat dibeli hanya dengan modal RM966 untuk 100 unit saham atau satu lot saham Maybank. Jumlah RM966 ini tidak termasuk lain-lain kos semasa beli dan juga jual. Pelabur dan pedagang saham perlu membuat perkiraan kos-kos yang terlibat agar harga saham dapat melepasi kos tersebut untuk menghasilkan keuntungan dalam pelaburan yang dibuat.

Walau bagaimanapun, masih ramai pelabur yang tidak mempunyai modal yang optimum tetapi keinginan mereka untuk melabur di pasaran saham sa­ngat tinggi lebih-lebih lagi apabila membaca iklan seperti yang disebut di atas. Tetapi perso­alannya, adakah ia realistik?

Kita sambung topik ini di minggu hadapan.