Sebagai contoh ia boleh dicapai melalui nama, pengiklanan, reka bentuk produk atau cara pembungkusan, pengalaman (dalam kedai), harga, penajaan dan identiti dalam bentuk visual (logo, laman web dan warna).

Jika dalam bentuk logo, pastikan logo tersebut menarik dan ringkas agar mudah diingati dan perlu dipaparkan dalam pelbagai media pengiklanan (media sosial, elektronik, cetakan).

Tagline

Logo yang mempunyai bentuk unik dan warna terang (seperti merah jambu, oren dan kuning) biasanya akan lebih menyerlah berbanding warna gelap. Selain itu, anda juga perlu mencipta tagline (slogan) jenama anda. Apakah mesej utama yang anda ingin sampaikan tentang jenama anda?

Ini kerana daripada logo dan tagline tersebut pengguna lebih mudah memahami dan mengetahui produk atau perkhidmatan yang anda jual atau sediakan.

Sebagai contoh, produk saya sendiri iaitu Pamoga dan Qu Puteh. Asal nama Pamoga adalah singkatan daripada perkataan bahasa Inggeris iaitu pamogranate yang bermaksud buah delima (di dalam bahasa Melayu) memandangkan kan­dungan utama produk tersebut adalah ekstrak buah delima.

Bagi memudahkan pembeli terutama warga emas untuk menyebut dan mengingati­nya, saya ringkaskan perkataan pamogranate kepada Pamoga.

Pembungkusan

Dari segi pembungkusan pula, saya gunakan botol kaca khas dan kotak yang cantik agar nampak esklusif dan menonjol berbanding produk kesihatan lain di pasaran.

Berbeza Qu Puteh, saya menggunakan warna merah jambu terang dan tagline ‘Qu Puteh, Qu Puteh, Barulah Putih’ bagi memudahkan pengguna mengenal dan mengingati produk tersebut walaupun masih baru di pasaran ketika itu.

Selain itu, tagline produk Qu Puteh mampu memberi gambaran tujuan produk tersebut di mana ia boleh mencerahkan kulit si pemakai.

Ditambah pula dengan cara pengiklanan yang berkesan secara besar-besaran di televisyen dan radio, jenama Qu Puteh meningkat naik dengan mudah dalam waktu singkat.

Penjenamaan diri

Kini syarikat tidak lagi menjadi satu-satunya entiti yang digunakan sebagai penjenamaan sesuatu produk atau perkhidmatan.

Penjenamaan diri atau penjenamaan peribadi, adalah satu bentuk pemasaran yang digunakan individu untuk mencipta imej awam yang mampu memaparkan nilai dan reputasi keseluruhannya. Bentuk penjenamaan ini merupakan trend yang berkembang dalam ka­langan selebriti dan strategi pemasaran yang berjaya.

Penjenamaan diri adalah cara yang baik untuk mempromosikan nama bersama dengan pelbagai produk dan perkhidmatan. Apabila selebriti mempunyai perniagaannya sendiri, secara tidak langsung ia diiktiraf oleh orang ramai kerana nama dan kredibilitinya.

Apabila jenama tersebut dibuat terlebih dahulu melalui kempen yang berjaya, produk yang dikeluarkan oleh se­lebriti ini lebih cenderung berjaya di pasaran berbanding jenama lain.

Pengguna biasanya akan mengaitkan produk ini dengan selebriti kegemaran mereka dan mendorong mereka membeli produk tersebut dengan kerap tanpa ragu-ragu atas dasar minat dan percaya pada selebriti kegemaran mereka.

Media sosial

Penjenamaan diri yang mudah adalah melalui media sosial seperti Facebook dan Instagram kerana ia membolehkan anda berkongsi aktiviti harian dan produk jualan syarikat.

Bagi meningkatkan jumlah pengikut, anda perlulah rajin berkomunikasi dengan pe­ngikut supaya mereka dapat mengenali anda dengan lebih rapat dan dalam masa sama dapat membentuk rasa percaya mereka kepada anda.

Sebagai contoh, ketika ini, sebagai seorang selebriti, saya mempunyai tiga juta pengikut di Instagram, @datoserivida dan akaun Facebook, Sayang-sayang DSV. Setiap kali saya memuat naik video atau gambar, saya pasti akan memperolehi jumlah Like sehingga puluhan ribu bagi hantaran tersebut.

Dengan ini, ia memudahkan saya melakukan promosi dan mengiklankan produk saya tanpa mengeluarkan sebarang kos pengiklanan.

Imej produk

Dalam kata mudah, produk adalah apa yang anda jual, sebuah jenama adalah imej daripada produk yang anda jual dan penjenamaan adalah strategi mencipta imej itu.

Produk, jenama dan penjenamaan adalah antara perkara penting dalam menaikkan syarikat dan mememasarkan produk jualan kerana ia berkait antara satu sama lain.

Walaupun kita mampu mengeluarkan produk yang bagus dan berkesan, tanpa penjenamaan produk tersebut belum tentu lagi mampu terjual dan dipasarkan. Semoga perkongsian saya pada minggu ini, sedikit sebanyak dapat membantu perniagaan anda.