Ramai yang masih tidak mahu mempelajari atau mendapatkan ilmu yang betul tentang pelaburan saham walaupun telah ada pihak-pihak yang me­nganjurkan pembelajaran saham sama ada percuma mahupun berbayar. Banyak seminar saham diadakan setiap tahun oleh badan-badan seperti InvestSmartSC, BursaMKTPLC serta syarikat broker saham. Kebiasaannya seminar-seminar dan pendedahan tentang pasaran saham yang dianjurkan oleh badan-badan ini adalah percuma.

Terdapat ramai wakil peniaga berlesen iaitu remisier dan dealer juga memberi pendidikan saham secara percuma kepada pelanggan yang membuka akaun CDS. Tidak kurang juga ada yang memberikan bimbing­an secara berterusan kerana wakil peniaga ini merupakan individu-individu yang diiktiraf serta mempunyai le­sen pasaran modal di pasaran ekuiti.

Sebagai pelabur dan pedagang saham era baharu, kita tidak boleh lagi menyandarkan harapan bahawa saham syarikat tersenarai yang dibeli tanpa ilmu dan tanpa membuat kajian yang betul mesti naik. Sekiranya laporan kewangan syarikat tersenarai yang negatif atau syarikat mempunyai pelbagai masalah dalaman, kita juga tidak boleh mengharap pegang­an saham di dalam portfolio pelaburan yang semakin jatuh harganya akan naik juga pada suatu hari nanti. Sehinggakan syarikat tersenarai tersebut te­lah diberikan amaran oleh Bursa Malaysia untuk menghantar laporan kewangan mereka, kita masih tidak berbuat apa-apa dengan saham yang disimpan itu kerana menaruh harapan yang tinggi agar saham tersebut akan naik juga sehingga ia memberikan keuntungan.

Ini boleh saya katakan strategi membeli saham bersandarkan kepada ‘analisis harapan’ atau Hope Analysis. Pernah berlaku situasi di mana pemegang saham tidak mahu melupuskan saham-saham yang telah diumumkan akan dinyah senaraikan daripada papan Bursa Malaysia atau yang bakal diklasifikasikan sebagai saham bertanda disebabkan syarikat tersenarai tidak dapat mematuhi syarat-syarat penyenaraian ke dalam papan Bursa Malaysia dan masih mengekalkan kerugian yang berpanjangan.

Contoh saham-saham yang telah dinyah senarai daripada papan Bursa Malaysia seperti Insbio, MAS dan Nscom. Terdapat kes di mana pemegang saham masih tidak mahu melupuskan pegangan saham mereka walaupun harga saham telah mencecah 1 sen sekalipun. 1 sen ini merupakan RM10 bagi 1,000 unit saham. Sekiranya pelabur mempunyai 100,000 unit saham, pelabur masih ada RM1,000 sekiranya saham tersebut dijual. Malangnya, ramai pelabur yang membiarkan wang pelaburan hangus begitu sahaja.

Contoh yang lain tentang bersandarkan kepada harapan dalam membuat urus niaga saham ialah sewaktu pasaran saham sedang mengalami aliran menurun disebabkan faktor-faktor luaran, panggilan margin, pengambilan untung atau jualan paksa yang berterusan, penjualan besar-besaran oleh pengurus dana tempatan dan asing serta pembetulan harga setelah pasaran mengalami ali­ran menaik.

Terdapat juga banyak kes di mana pelabur saham mempu­nyai ilmu analisis teknikal tetapi masih tidak mengamalkannya dengan betul. Saya boleh katakan begitu memandangkan kesedaran tentang pelaburan saham telah memuncak pada masa ini. Terdapat seminar-seminar saham yang dihadiri oleh ribuan peserta dan mendapat sambutan hangat tetapi cerita-cerita tentang pelabur dan pedagang saham yang masih mengalami kerugian saham masih lagi kedengaran.

Pada pandangan saya, pelabur dan pedagang saham yang mengetahui pergerakan aliran menurun ini masih mengharapkan saham yang dibeli itu naik lagi. Kadangkala mereka mengetahui bahawa saham tersebut telah mencecah harga yang diingini tetapi oleh kerana mendengar khabar yang me­ngatakan harga saham akan naik lagi dengan banyak, mereka tunggu lagi walaupun segala bacaan pada carta saham me­nunjukkan bahawa harga saham telah berada pada kemuncak dan bila-bila masa sahaja akan berlaku pengambilan untung secara besar-besaran yang berpotensi menyebabkan pembetulan harga. Ini telah terjadi pada saham syarikat Harvest Court dan Iris tidak lama dahulu.

Topik ini bersambung di minggu hadapan.

PEMBACA yang ingin mendapatkan pembelajaran tentang perisian serta kegunaan Bursa Station ini boleh hubungi Zuraida Mohd. Zakaria melalui emel [email protected]