Yasmin Mahmood
Yasmin Mahmood

Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Datuk Yasmin Mahmood berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM6.43 bilion adalah pelaburan baharu, manakala RM9.84 bilion lagi daripada pelabur sedia ada.

“Kami berbangga atas pencapaian syarikat-syarikat berstatus Koridor Raya Multimedia (MSC) pada tahun lalu meskipun berdepan pelbagai cabaran dalam landskap ekonomi di pe­ringkat global.

“Strategi MDEC dalam memacu ekonomi digital sema­kin membuahkan hasil dengan pencapaian positif daripada rekod pelaburan baharu dan sedia ada yang kukuh,” katanya pada taklimat media prestasi syarikat berstatus MSC di Malaysia 2016 di sini hari ini.

Yang hadir sama Ketua Pegawai Operasi MDEC, Datuk Ng Wan Peng.

Menurut Yasmin, jualan eksport bagi syarikat MSC tempatan juga meningkat dua digit atau 18 peratus kepada RM19.1 bilion berban­ding tahun 2015 sekitar RM16.2 bilion.

“Kandungan kreatif dan teknologi menca­tatkan pertumbuhan tertinggi bagi jualan eksport berjumlah RM1.17 bilion, sebahagian besarnya disumbangkan oleh sektor permainan dan animasi,” katanya.

Kata beliau, perolehan yang dijana juga meningkat 12 peratus berbanding tahun sebelumnya kepada RM47.1 bilion, manakala peluang pekerjaan meningkat lima peratus kepada 167,044 pekerjaan.

Jelasnya, walaupun berdepan ketidaktentuan ekonomi, bidang tumpuan terus berkembang de­ngan ketara termasuk e-dagang, Internet of Things (IoT), Cloud dan pusat data, analisis data besar dan keselamatan.

“Bidang tumpuan ini menyumbang sebanyak RM3.7 bilion bagi jumlah keseluruhan jualan eksport tahun lalu, meningkat 38 peratus berban­ding tahun sebe­lumnya,” katanya.

Tambah Yasmin, MDEC akan terus memacu ekonomi di­gital mampan tahun ini dibina melalui industri teknologi maklumat (IT) tempatan menerusi penubuhan hab digital Malaysia baharu.

“Hab digital ini akan bertindak sebagai pemangkin untuk membina ekosistem syarikat permulaan yang teguh dengan menyediakan infrastruktur yang memacu pertumbuhan ekonomi internet,” ujarnya.