Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Farid Alias berkata, pelancaran aplikasi baharu itu mampu menarik 4.5 juta pe­langgan perbankan dalam talian Maybank2u untuk menggunakan MAE.

“Kami mahu 4.5 juta pelanggan mudah alih menggunakan MAE. Bagaimanapun, penggunaan aplikasi ini bergantung kepada tingkah laku pengguna dan memerlukan masa untuk melihat hasilnya,” katanya dalam majlis pelancaran MAE di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Perkhidmatan Kewangan Komuniti Kumpulan Maybank, Datuk John Chong serta Ketua Perbankan Maya dan Pembayaran, Kalyani Nair.

Tambah Farid, aplikasi MAE membolehkan pengguna membuka akaun melalui aplikasi Maybank2u dan menjalankan transaksi sambil menikmati kemudahan e-dompet sepenuhnya.

Menurut beliau, MAE bermatlamat meningkatkan fungsi e-dompet dengan menyediakan akses kepada perkhidmatan perbankan yang luas bagi mewujudkan pengalaman yang lancar dan terbaik kepada para pengguna.

“MAE dijangka terus meng­ukuhkan kepimpinan Maybank dalam sektor industri perba­nk­an di negara ini,” katanya.

Ketika ini, lebih 66 peratus transaksi perbankan mudah alih di Malaysia dilakukan menerusi aplikasi.

Sementara itu, Chong berkata, transaksi Maybank2u pada 2018 berjumlah 5.85 bilion terdiri daripada 3.77 bilion menggunakan laman web manakala 2.08 bilion menggunakan aplikasi mudah alih.

“Transaksi kewangan Maybank2u berkembang sebanyak 43 peratus tahun ke tahun dan transaksi mudah alih mengatasi penggunaan laman web dengan pertumbuhan lebih pantas iaitu pada 173 peratus. Pengenalan MAE dijangka terus memacu pertumbuhan transaksi mudah alih,” ujarnya.