Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines, Kapten Izham Ismail berkata, penggunaan A350 itu, sekali gus menjadikan MAS satu daripada syarikat penerbangan paling moden di Asia.

Beliau berkata, pihaknya gembira pesawat baharu A350 itu akan beroperasi bagi laluan KL-London yang cukup popular.

“Pesawat ini direka khas untuk penerbangan berjarak jauh dan akan menawarkan pelanggan kami pengalaman terbang yang terbaik dengan penambahbaikan tahap keselesaan, privasi dan fungsi,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di lapangan terbang Heathrow di sini hari ini.

Terdahulu, Kapten Izham tiba dari tanah air menggunakan pesawat A350 baharu tersebut.

Sempena dengan pelancaran penerbangan itu, Malaysia Airlines turut mengadakan majlis khas di Heathrow untuk media, rakan kongsi perniagaan dan wakil pemegang saham utama iaitu Kha­zanah Nasional, Suruhanjaya Tinggi Malaysia, Airbus, Kelab Li­verpool dan beberapa lagi.

Pesawat A350 Malaysia Airlines ini terbentuk kepada tiga kelas, dengan empat kerusi baharu Kelas Satu, 31 kerusi Kelas Bisnes dan 251 kerusi Kelas Ekonomi.

Pesawat ini juga akan perlahan-lahan menggantikan pesawat A380 yang selama ini digunakan terbang ke London, menjelang Mac depan.

Menurut Malaysia Airlines, pesawat A350 ini adalah pesawat paling luas dalam barisan pesawat miliknya, dengan tambahan ruang kaki dan lebar kabin menyediakan kualiti ruang yang besar dan lampu ‘mood pintar’.

Pesawat A350 ini menawarkan inovasi terkini pesawat dengan sambungan ke internet menerusi WiFi dalam kabin dan hiburan dalam penerbangan yang dipertingkatkan, menayangkan filem blockbuster terbaharu menerusi paparan HD.

Pengurus Serantau Malaysia Airlines bagi United Kingdom, Ireland, Eropah dan Amerika Utara, Adrian Keating berkata, pesawat A350 memenuhi cita rasa semua sama ada untuk pergi bercuti atau urusan rasmi.

Malaysia Airlines terbang dua kali sehari antara Kuala Lumpur dan London. – UTUSAN