Ketua Pegawai Eksekutifnya, R. M. Chandran (gambar) berkata, penerbangan tersebut adalah yang kedua ke Australia selepas Perth pada November 2015 dan akan transit selama satu jam di Denpasar, Bali, Indonesia.

Kata beliau, tambang laluan baharu ini serendah RM1,049 bagi kelas ekonomi dan RM2,369 untuk kelas perniagaan, termasuk elaun bagasi percuma, hiburan dan hida­ngan semasa penerbangan.

“Laluan baharu ini akan menggunakan pesawat Boeing 737-900ER yang mempunyai kapasiti 180 tempat duduk termasuk 12 kelas perniagaan dan 168 kelas ekonomi.

“Penerbangan dari Kuala Lumpur ke lapangan terbang Ngurah Rai, Denpasar mengambil masa tiga jam lima minit dan dari Denpasar ke Brisbane memerlukan lima jam 40 minit penerbangan. Oleh itu, secara keseluruhan penerbangan sehala mengambil masa sembilan jam 45 minit untuk tiba ke destinasi,” katanya dalam kenya­taan di sini hari ini.

Tambah Chandran, pihak­nya berbangga kerana dapat melancarkan laluan baharu Kuala Lumpur-Brisbane ini dengan transit selama satu jam di destinasi pelancongan popular, Pulau Bali.

Katanya, Brisbane sebagai sebuah hab perniagaan komersial dan destinasi pelancongan pastinya akan memberikan impak positif pada masa hadapan untuk kedua-dua buah negara.

“Kami akan menjalinkan kerjasama dengan lebih erat lagi bersama pemain-pemain industri Malaysia dan Australia serta pihak berkuasa penerbangan Brisbane dalam memastikan laluan baharu ini berjaya.

“Layari laman web www.malindoair.com untuk maklumat lanjut dan muat turun aplikasi Malindo Air bagi membuat pembelian melalui telefon,” katanya.