Antara mereka yang berjaya mengharumkan nama negara ia­lah Pengasas dan Presiden Universiti Limkokwing, Tan Sri Prof. Emeritus Dr. Lim Kok Wing yang mendapat dua pengiktirafan iaitu sebagai Ikon Inovasi Global dan Kepimpinan Keamanan dan Kebersamaan Global.

Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, Datuk Mohamed Faroz Mohamad Jakel juga menerima dua anugerah iaitu Jenama Antarabangsa Tahunan dan Pemimpin Berwawasan Tahunan.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan yang juga Pengerusi Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC), Tan Sri Dr. Mohd. Irwan Serigar pula menerima anu­gerah Kepemimpinan Pembangunan Keusahawanan Cemerlang.

Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Berhad, Datuk Badlisham Ghazali (Kepemimpinan Pengurusan Lapangan Terbang Cemerlang); Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad, Datuk Seri Azmi Abdul Aziz (Kepemimpinan Pembangunan Infrastruktur Cemerlang).

Selain itu, Pengarah Urusan Kumpulan syarikat pemaju hartanah IRDK Land, Tan Sri Dr. MP. Ramasamy memenangi anugerah Usahawan Global Tahunan dan Pengarah Eksekutif HSS Engineers Berhad, Datuk Seri Ir. Kuna Sittampalam diiktiraf sebagai Kepemimpinan Kejuruteraan Cemerlang.

Anugerah disampaikan oleh Presiden Kumpulan Perniagaan Emirates dan Titanium Partner, Badria Al Mulia.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Kepemim­pinan Antarabangsa, Shahul Hameed Shaik Dawood berkata, anu­gerah tersebut merupakan pengiktirafan kepada pemimpin-pemimpin dalam pelbagai industri yang banyak membantu me­lonjakkan ekonomi negara dan di peringkat global.

Menurutnya, ia juga sebagai plat­form untuk penggiat industri menjalin kerjasama dalam mem­bentuk ekonomi global yang ku­kuh dan ke arah perniagaan kepada perniagaan (B2B) yang akan memberi manfaat secara bersama.

“Tahun ini Malaysia berjaya me­rangkul lebih banyak anugerah berbanding sebelum ini, menunjukkan pendekatan pengurusan perniaga­an dalam kalangan usahawan dan penggiat industri tempatan adalah cemerlang dan menjadi ikutan.

“Dengan pencapaian para pemimpin hari ini jelas membuktikan cabaran yang ada bukan satu halangan,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian anugerah itu. – UTUSAN