Ketua Pegawai Eksekutif Kum­pulan, Kapten Izham Ismail berkata, matlamat tersebut boleh dicapai dengan komitmen, ke­sungguhan, fokus dan usaha semua kakitangan MAG yang terus komited dalam membawa penambahbaikan yang berte­rusan ke atas perkhidmatan da­lam penerbangannya.

“Perkhidmatan dalam penerbangan oleh anak-anak kapal yang terlatih adalah satu kelebihan dan ia penting bagi kejayaan masa hadapan Malaysia Airlines,” katanya pada majlis malam graduasi 111 anak kapal dan juruterbang Malaysia Airlines di sini hari ini.

Dalam majlis itu, turut diraikan adalah tiga juruterbang wa­nita pertama Malaysia Airlines, Pegawai Penerbangan Kanan Kapten Pearl Wendy Mak dan Wen Chien Wang serta Kadet Foo Hooi Wen.

Kesemua graduan Malaysia Airlines telah menjalani latihan intensif dalam bidang masing-ma­sing dengan fokus utama ditekankan kepada aspek keselamatan.

Izham berkata, Malaysia Airline bukan sekadar sebuah syarikat penerbangan, malah ia me­rupakan syarikat penerbangan nasional yang sentiasa di dalam hati setiap rakyat Malaysia.

“Dalam merekrut juruterbang dan anak kapal, kami mencari individu luar biasa yang mampu berdiri dan terbang tinggi bersama syarikat, memperkasakan lelaki dan wanita yang menganggap diri mereka bukan sekadar seorang juruterbang, pramugara atau pramugari.

“Kami telah memulakan pencarian duta Malaysian Hospitality (MH) dan komander penerbangan Malaysia Airlines sejak 2017 dan mereka yang terpilih telah disa­ring dengan teliti daripada beribu-ribu pemohon, kerana kita melihat bahawa mereka mempunyai jiwa untuk mewakili negara di dalam melaksanakannya,” katanya.

Seramai 91 orang anak kapal yang berjaya menamatkan latihan hari ini telah menjalani latihan perkhidmatan dan keselamatan selama 82 hari, manakala seramai 20 orang juruterbang kadet menamatkan pelbagai program latihan dan peperiksaan selama 300 hari bagi memperoleh lesen penerbangan masing-masing

Kesemua graduan menerima sijil yang disampaikan Izham serta barisan pengurusan kanan syarikat penerbangan tersebut.

Sehingga kini, Malaysia Airlines memiliki sejumlah 2,286 anak kapal dan 927 juruterbang yang mengendalikan pesawat B737-800, A330-300, A330-200, A350-900 dan A380-800.

Syarikat penerbangan negara itu membawa kira-kira 40,000 penumpang sehari ke lebih 1,000 destinasi dan 650 lapangan terbang di seluruh dunia.

Sejak September 2015, syarikat penerbangan itu telah dimiliki dan dikendalikan oleh Malaysia Airlines Bhd. dan sebagai ahli oneworld®, Malaysia Airlines dan rakan-rakan dalam pakatan global menawarkan pengalaman perjalanan yang lancar.