Jamuan bersempena Hari Raya Aidilfitri dan Doa Selamat memasuki kediaman baharu itu dihoskan oleh tuan rumah, Datuk Marof Khan Mohamed Idris dan isteri, Datin Suzana Kamaruddin yang menyambut serta melayani tetamu sepanjang berlangsungnya majlis bermula pukul 3 petang hingga 9 malam, Sabtu lalu.

Selain menikmati pelbagai juadah makanan dengan hidangan menu berbeza yang meliputi masakan tradisi, ala Barat dan Arab, para pengunjung turut dihiburkan dengan persembahan kugiran oleh wakil dari Akademi Seni Budaya dan Warisan (Aswara).

Menurut Marof Khan yang merupakan Pengarah Urusan Utama Motor (1981) Enterprise Sdn. Bhd., majlis tersebut menjadi medan terbaik rapatkan hubungan sesama saudara, kenalan perniagaan dan juga warga komuniti di sekitar Cemerlang Height, Taman Melati.

“Usaha dan inisiatif ini telah menjadi sebahagian daripada aktiviti berkala dibuat melalui platform persatuan mahupun atas kapasiti syarikat perniagaan masing-masing bagi memakmurkan komuniti setempat.

“Di samping itu, ia turut menjadi ruang membina jalinan sosial dan merintis ruang serta peluang niaga bersama-rakan rakan dalam industri yang hadir.

“Masa terhad dan kesibukan tugas kerap membataskan kita bertemu dengan ramai orang, jadi melalui majlis ini, kita boleh satukan semua kenalan dan raikan mereka secara saksama,” katanya.

Utama Motor telah berkecimpung dalam perniagaan dan perkhidmatan automotif tempatan sejak lebih 30 tahun lalu, merupakan ahli Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema).

Selain terlibat dalam memasar dan menjual kenderaan import, Utama Motor juga telah mengusahakan rantaian perkhidmatan berkaitan automotif melalui syarikat niaganya, FS Trading Sdn. Bhd. dan turut aktif dalam aktiviti kelab motosikal berkuasa tinggi melalui FS Bikes.

Menjelas lanjut, Marof Khan berkata, selain jamuan dan program kemasyarakatan yang dibuat turut melibat samakan komuniti khususnya golongan istimewa seperti anak-anak yatim dan mereka yang memerlukan perhatian serta bantuan.

“Untuk kali ini, sebuah pusat tahfiz di Ampang yang menempat seramai 35 anak yatim telah terpilih sebagai penerima sumbangan tunai daripada pihak syarikat dan kami komited inisiatif sebegini perlu digembleng bagi membantu mencernakan lagi proses pembangunan masyarakat.

Penolong Pengarah Harley Owner Group (HOG) Chapter Malaysia, TJ @ Roslan Ismail berkata, pelbagai program termasuk charity ride yang dianjur pihak kelab atau kumpulan motosikal berkuasa tinggi sering mendapat sambutan hangat ahlinya yang kini berjumlah 6,000 orang di seluruh negara.

“Aktiviti ride and journey yang dibuat HOG ternyata menarik minat ramai kelompok masyarakat, malah ia menjadi petanda positif bahawa hobi ini tidak terbatas kepada kumpulan elit tertentu, tetapi boleh disertai oleh semua orang,” kata pensyarah di sebuah universiti tempatan itu.

Presiden Sportster Malaysia, Sulaiman Nasrodin pula menegaskan, setiap program yang dianjur dan dilaksanakan oleh kelab bermotor sentiasa menitik beratkan pematuhan terhadap undang-undang, batas budaya dan impaknya kepada komuniti khususnya remaja.

“Berdasarkan kalendar aktiviti kelab Sportster Malaysia akan mengadakan satu konvoi Raya Gathering Ride 2016 pada Sabtu 20 Ogos ini, bermula pukul 3 petang di Cheras sebelum berkonvoi menuju Kota Damansara.

“Aktiviti tahunan ini mampu menjadi landasan kukuh membina ukhwah dalam kalangan ahli kelab di samping berpeluang untuk bersama-sama mengumpul dana untuk kegunaan pelaksanaan aktiviti kelab dan lebihanya akan disumbang kepada pihak memerlukan.

“Kami sasarkan lebih 60 ahli kelab akan mengambil bahagian dalam konvoi ini di mana lebihan kos pengendalian aktiviti yang dikutip sesama ahli akan disumbangkan kepada masyarakat Orang asli di Chini, Pekan,’’ katanya.