Pengarah Urusannya, Datuk Badlisham Ghazali berkata, sebanyak 40 inisiatif telah dikenal pasti bagi tujuan tersebut terutamanya melibatkan kawasan tempat letak kereta, surau, tandas dan lain-lain kemudahan.

"Inisiatif ini telah dikenal pasti dan dimulakan sejak tahun lalu lagi bagi memberikan keselesaan kepada semua penumpang termasuk untuk jemaah haji dan umrah yang menggunakan kemudahan di lapangan terbang sebelum berlepas ke Tanah Suci.

“Selain itu, MAHB turut menyediakan kemudahan kelas pertama seperti KLIA Premier Access bagi memberikan pengalaman baharu kepada penumpang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis sambutan ulang tahun ke-25 MAHB di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini semalam.

Yang hadir sama Pengerusi MAHB, Tan Sri Dr. Wan Abdul Aziz Wan Abdullah.

Dalam majlis itu, MAHB turut memperkenalkan lagu tema untuk sambutan ulang tahun itu yang berjudul Jutaan Jiwa nya­nyian kumpulan terkenal, Hujan.

Dalam pada itu, mengulas pe­rancangan MAHB di masa depan, Badlisham berkata, pihaknya turut berhasrat membina sebuah lagi bangunan satelit untuk menampung pertambahan penum­pang di sini.

Beliau berkata, ini kerana dalam pelan perniagaan lima tahunnya iaitu Runway to Success 2020 (RtS2020) pihaknya me­nyasarkan pertambahan penum­pang kepada 115 juta orang setahun yang mana KLIA sahaja menyumbang kehadiran seba­nyak 69 juta penumpang.

Pada masa sama katanya, projek KLIA Aeropolis yang diwujudkan bagi mengubah landskap industri penerbangan negara pada masa depan juga dijangka mampu menyumbang sebanyak RM30 bilion untuk Keluaran Dalam Negara (KDNK) dan mewujudkan sebanyak 56,000 peluang pekerjaan dalam tempoh 15 tahun.

Sementara itu, Badlisham berkata, bermula tahun ini, MAHB turut melancarkan sebuah program pembangunan bakat untuk pelajar sekolah menengah.

“Program ini yang dikenali sebagai Beyond Borders High Flyers merupakan sebuah projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) MAHB bagi memberi peluang pendidikan kepada 25 anak kakitangan MAHB menyertai program pendidikan,” katanya.