Protasco dan Tan & Tan Development merupakan syarikat berkaitan hartanah sementara DGB adalah syarikat perunding perisian dan kejuruteraan.

Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam kenyataan berkata, MoU bersama Protasco adalah untuk membekal dan memasang perkhidmatan rumah pintar Maevi untuk projek pemba­ngunan perumahan.

“Mou bersama Tan & Tan Development pula bagi menjalin kerjasama pintar bagi kecekapan pengurusan dan pemantauan aset DGB. Perjanjian bersama DGB adalah untuk kerjasama meneroka pasaran pengurusan tenaga melalui program pengedaran bersama,” katanya di sini hari ini.

Perjanjian tersebut ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif Maevi, Izham Ismail bersama Pengarah Eksekutif Protasco, Edward Khoo; Pe­ngarah Syarikat Tan & Tan Development, Tan Yee Seng serta Pengarah Eksekutif DGB, Robin Lim dan disaksikan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Dr. Mohd. Hatta Md. Ramli dan Pengarah Urusan TNBES, Dr. Ir. Ahmad Jaafar Abd. Hamid.

Sementara itu, Izham berkata, pihaknya turut melancarkan inovasi terbaharu dalam aplikasi sistem pengurusan tenaga pintar bagi bangunan perindustrian dan komersial, Maevi-B.

Jelasnya, sistem itu mampu melakukan pemantauan tenaga secara langsung, menganalisis secara terperinci dan teknikal serta menyediakan maklumat berdasarkan data yang dijana bagi mendapatkan penjimatan sehingga 40 peratus penggunaan tenaga elektrik.

Katanya lagi, produk ber­kenaan disasarkan kepada pengguna komersial, industri dan bangunan-bangunan pejabat.

“Maevi-B menggunakan sistem integrasi berpusat berasaskan awan untuk menyediakan beberapa fungsi termasuk memantau, mengawal dan paparan umum selain analisis bagi tujuan teknikal.

“Dengan adanya sistem ini pemilik industri dapat melaksanakan pemantauan tenaga secara pintar seterusnya menggunakan data tersebut bagi penyesuaian terhadap revolusi industri 4.0 dan melakukan ­usaha-usaha kecekapan tenaga,” ujarnya.