Ketua Pegawai Eksekutifnya, Peter Bellew berkata, selain penyenaraian, pihaknya akan mempertimbangkan sama ada menjalin kerjasama strategik dengan syarikat penerbangan asing untuk membeli saham minoriti dalam MAB.

Katanya, pengambilalihan pe­­
gangan strategik itu secara da­sarnya sudah menjadi trend dalam industri penerbangan global dan pernah diamalkan beberapa syarikat antaranya, Delta Air membeli pegangan dalam Virgin Airlines.

Bagaimanapun katanya, MAB setakat ini belum berbincang de­ngan mana-mana pihak berhubung perkara tersebut dan masih memberi fokus kepada usaha pemulihan syarikat supaya kembali untung pada separuh kedua tahun hadapan.

“kami sepatutnya disenaraikan pada 2019 tetapi sentiasa ada cadangan lain yang boleh dipertimbangkan. Malah, dengan menjual saham minoriti ini juga mungkin lebih baik berbanding kita kembali ke pasaran saham, sekiranya ada syarikat penerbangan yang berminat, ia boleh dilakukan seperti satu pelaburan dagangan.

“Trend ini boleh dilihat sedang berlaku apabila syarikat penerbangan turut membeli pegangan minoriti dalam syarikat penerba­ngan lain dan ini secara tidak langsung boleh meningkatkan nilai syarikat penerbangan berkenaan.

“Namun, pihak kami belum mengadakan sebarang perbincangan mahupun cuba dihubungi oleh mana-mana syarikat dan kami juga tidak meninjau mana-mana syarikat penerbangan.

“Pada masa ini, kami mahu memberi fokus kepada usaha pemulihan semula MAB dan setiap keputusan yang dibuat akan memberi nilai maksimum kepada rakyat terutama apabila kami disenaraikan semula nanti,” kata­nya selepas meninjau pesawat pertama A350-900 Malaysia Airlines di sini hari ini.

Syarikat penerbangan negara itu mula melalui proses penstrukturan semula sejak 2014 yang menyaksikan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah), sebagai pemegang saham utama menyuntik sebanyak RM6 bilion dengan separuh daripadanya digunakan sebagai modal permulaan untuk pembentukan entiti baharu (dikenali sebagai MAB pada Julai 2015).

Selebihnya, iaitu RM1.4 bilion di­be­lanjakan untuk menyahsenaraikan Malaysia Airlines System (MAS) dan RM1.6 bilion lagi bagi tujuan pemberhentian pekerja dan pembatalan kontrak-kontrak pembekalan oleh vendor.

Rancangan yang diumumkan itu merupakan antara kandungan daripada 12 pelan yang ditetapkan oleh Khazanah bagi memulih­kan Malaysia Airlines.

Dalam pada itu, Bellew memberitahu, Khazanah dijangka mengumumkan keputusan berhubung pembentukan anak syarikat di bawah ‘Projek Amal’ untuk membawa jemaah haji dan umrah pada penghujung tahun ini.

Katanya, MAB mendapat permintaan tinggi dalam segmen tersebut dan ia menjadi antara fokus utama kumpulan pada tahun ini.

“Perniagaan umrah dan haji ini bukan sahaja dari segi tempat duduk, tetapi juga perlu membawa penumpang dari Indonesia, China dan Thailand. Walaupun baru sahaja bermula tetapi ia mampu menjana pulangan yang baik kepada MAB setakat ini,” katanya. – UTUSAN