Kita tidak tahu siapakah yang menciptakan semua pe­ra­turan yang tertulis sama ada di internet, majalah dan buku-buku namun yang pasti semuanya tidak konsisten. Apa yang tertulis di buku-buku teks yang terdapat di universiti-universiti jauh berbeza dengan apa yang dihidangkan di internet. Apa yang tertulis di majalah-majalah juga turut berbeza. Jadi, mana satu yang perlu kita ikut?

Lupakan semua yang anda baca sebelum ini kerana keba­nyakan daripada apa yang dibaca itu agak mengelirukan, tidak praktikal, tidak masuk akal dan tidak sesuai dengan budaya timur kita di Asia. Di sini saya ingin berkongsi beberapa garis panduan yang boleh anda gunakan untuk memasarkan produk dan perkhidmatan anda kepada para pengguna di luar sana.

* Pemasaran bukan senjata utama untuk mendapatkan jualan.

Sebaliknya pemasaran mem­bantu strategi jualan anda melalui taktik sebaran maklumat atau berita. Apa yang pemasaran lakukan ialah membantu menguar-uarkan kepada para pengguna tentang produk atau perkhidmatan anda melalui media-media yang ada agar mereka tahu yang produk anda ini wujud. Wujud dan sentiasa ada. Pemasaran sebenarnya memastikan yang poster, video, artikel, iklan dan status media sosial anda yang ditulis atau apa sahaja bahan kreatif yang dihasilkan itu akan berada di hadapan mata mereka setiap masa, sekerap yang boleh dan selama mungkin.

* Pemasaran ialah senjata untuk anda masuk ke dalam ingatan para pengguna.

Jika mereka teringat tentang jenama anda apabila mereka ingin membeli sesuatu, maka taktik pemasaran anda telah berjaya. Ini dapat dilakukan dengan menyediakan pelbagai bentuk bahan-bahan yang krea­tif, menusuk kalbu dan juga mengusik emosi yang membuatkan mereka membeli.

* Untuk menyusup masuk ke dalam ingatan para pengguna, ia akan mengambil masa.

Ada yang mengambil masa tidak sampai tiga bulan dan ada yang mengambil masa bertahun-tahun lamanya untuk mencapai hasrat ini. AirAsia mengambil masa berbelas-belas tahun untuk mencapai apa yang mereka kecapi sekarang ini. Jenama AirAsia akan sentiasa berada di dalam minda anda sekiranya anda ingin terbang untuk melancong ke destinasi yang anda idamkan. Adakah anda teringatkan jenama lain? Mungkin tidak. Tidak ramai yang teringatkan jenama lain. Lebih 99 peratus orang ramai yang saya telah temubual memberitahu mereka lebih teringatkan AirAsia berbanding yang lain.

* Produk dan perkhidmatan anda perlu berkualiti tinggi.

Produk dan perkhidmatan yang tidak berkualiti akan membuatkan para pengguna ‘lari’ daripada menggunakan jenama anda. Bukan itu sahaja, mereka akan tularkan kepada rakan-rakan mereka yang lain agar menjauhi jenama anda. Ini tidak akan membantu strategi pemasaran anda sama sekali. Perlu diingatkan bahawa yang mempunyai produk berkualiti tinggi yang menjadi kegilaan orang ramai juga merupakan salah satu elemen strategi pemasaran efektif, yang bakal membantu membuatkan jenama anda lebih terkenal.

* Interaksi dengan komuniti dan pelanggan yang mesti dilakukan.

Tali silaturahim dan persahabatan itu lahir, kukuh dan kekal lama ialah dengan ada­nya interaksi di antara satu sama lain. Ini memang telah kita ketahui sejak dahulu lagi, yang diajar oleh ibu bapa kita dahulu. Tidak kira sama ada jenama anda lebih cenderung untuk memasarkan produk anda melalui media sosial ataupun tradisional, keperluan berinteraksi dengan para pengguna dan komuniti teramat-amat penting bagi memastikan mereka kenal, ingat dan terus menggunakan produk kita di mana sahaja mereka berada.

* Jangan menjual sebalik­nya buatkan mereka membeli.

Pemasaran menggunakan taktik yang lebih kepada membuatkan orang tertarik dengan sesuatu produk dan tidak offensive. Pengguna sama sekali tidak gemar dengan jenama-jenama yang terlalu menjual, malah mereka akan menjauhkan diri daripada puak-puak ini. Sebaliknya mereka akan membeli sekiranya mereka tertarik dengan sendirinya tentang sesuatu produk itu yang bakal membuatkan personaliti mereka lebih gah atau mereka akan kelihatan lebih cantik atau membuatkan kehidupan dan keluarga mereka lebih baik.

AZLEEN ABDUL RAHIM 
adalah Pakar Pemasaran Digital. 
Ikuti blog ­beliau di azleen.com