“Pada 2007, kami hanya mempunyai satu projek pembangunan semula bandar dan kini kami telah mempunyai 18 projek, termasuk TRX Lifestyle Quarter di sini dan Paya Lebar Quarter di Singapura.

“Saya berhasrat menyaksikan kami memperoleh dua hingga tiga projek pembangunan semula bandar berskala besar dalam tempoh beberapa tahun akan datang," katanya kepada Bernama dalam satu temu bual baru-baru ini.
Landlease bagi operasi Asia berpangkalan di Singapura

Ditanya sama ada Lendlease akan mempertimbangkan Bandar Malaysia sebagai antara projek pembangunan bandarnya, Lombardo berkata, kawasan itu berpotensi menjadi pilihan terbaik, namun, syarikat perlu menjalankan kerja-kerja latar belakang sekurang-kurangnya 12 hingga 18 bulan sebelum membuat keputusan.

Beliau berkata, apabila mencari projek berpotensi, kriteria Lendlease adalah termasuk kesambungan kepada Transit Aliran Massa (MRT), kesalinghubungan jalan raya dan mudah diakses.

“Apabila kami membeli projek di mana-mana di dunia, ia bukan secara tradisionalnya menjadi destinasi paling disukai ketika itu kerana ramai yang tidak dapat membayangkan lokasi tersebut akan berubah. Kami tidak pernah bimbang untuk melaksanakan perkara yang tidak mempunyai tujuan jelas selagi kami memiliki idea mengenai apa yang kami fikir akan berhasil.

“Itu sebabnya kami sentiasa menekankan kesalinghubungan atau kesambungan,” katanya.
Terdapat banyak soalan yang timbul mengenai status pembangunan Bandar Malaysia selepas kerajaan memutuskan untuk menangguhkan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura.

“Kawasan seluas 196.68 hektar, yang dulunya adalah pangkalan udara Tentera Udara Diraja Malaysia itu mempunyai akses mudah ke Putrajaya melalui Lebuh raya Maju, serta ke pusat bandar raya menerusi terowong SMART.

Stesen MRT di bahagian selatan dan utara Bandar Malaysia, mengikut laluan kedua MRT yang menghubungkan Sungai Buloh ke Serdang dan Putrajaya, akan ber­ope­rasi pada 2022.

Mengulas mengenai perubahan kepimpinan negara ini, Lombardo berkata, dari perspektif peserta asing, peralihan itu dilihat berjalan lancar dan Lendlease amat bertuah kerana kerajaan telah melihat projek TRX Lifestyle Quarter semasa peringkat awal pelan 100 harinya.

“Kami gembira apabila kerajaan mengumumkan bahawa mereka me­nyokong projek ini dengan pe­laburan seterusnya RM2.8 bilion.

“Kepada komuniti perniagaan, kami berpendapat wujud persekitaran yang positif di Malaysia,” katanya. – BERNAMA