Syarikat berasaskan pemprosesan bioteknologi dan teknologi hijau itu bakal membangunkan kilang di atas tanah seluas lapan hektar berdekatan Segamat Inland Port.

Pengarah Urusan Leaf Malaysia, Jason Jones berkata, pembinaan kilang tersebut akan bermula pada suku pertama atau kedua tahun depan.

“Kita menyasarkan produk berasaskan biojisim yang dihasilkan bagi kegunaan minyak, plastik dan tenaga untuk pasaran domestik dan antarabangsa.

“Kita menjangkakan operasi dapat dimulakan pada 2021,” katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri mesyuarat penyelarasan pelaburan negeri Johor yang dipengerusikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Tee Siew Kiong.

Pada majlis itu, satu memorandum jual beli tanah bagi pembangunan kilang tersebut antara Leaf Malaysia yang diwakili Jones dan B&G Global Property Sdn. Bhd., oleh Timbalan Pengarah Urusannya, Datuk Soo Kai Chee turut diadakan.

Sementara itu, Siew Kiong berkata, kerajaan negeri sentiasa mengalu-alukan pelaburan baharu dan lokasi di Segamat adalah bertepatan memandangkan daerah itu dijadikan hab pertanian.

Menurutnya, kekuatan sumber pertanian di Segamat seiring dengan potensi sektor biojisim, pemprosesan bioteknologi dan teknologi hijau yang diusahakan oleh Leaf Malaysia.

“Berdasarkan data pelaburan tahun lepas, AS merupakan pasaran pelaburan ketiga terbesar di Johor dengan jumlah nilai pelaburan sebanyak RM719.7 juta yang tertumpu dalam sektor bioteknologi dan kimia,” katanya. - UTUSAN ONLINE