Riad Asmat
RIAD ASMAT

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Riad Asmat berharap operasi di T2 boleh dihidupkan semula untuk kegunaan penerbangan tambang rendah (LCC) dan AirAsia bersedia bertanggungjawab terhadap kos membaik pulih T2.

Katanya, T2 akan menjadi lebih baik daripada sebelum ini dan tidak akan menjadi kos kepada Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) atau kerajaan negeri (Sabah).

“Apa yang kami minta adalah peluang untuk terus mengembangkan potensi sebenar Kota Kinabalu dalam usaha memberi manfaat kepada rakyat Sabah seperti yang kumpulan sentiasa dilakukan.

“Langkah ini juga akan membebaskan T1 kepada syarikat penerbangan perkhidmatan penuh,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

AirAsia menyedari bahawa kerajaan Sabah sedang mengkaji untuk menyiapkan pembinaan lapangan terbang baharu di Kota Kinabalu dalam beberapa tahun justeru meminta supaya mempertimbangkan terminal LCC untuk dimasukkan ke dalam pelan induk.

Dalam pada itu, AirAsia meminta MAHB perlu berhenti melihat kepada beberapa data sahaja yang bersesuaian dengan agenda syarikat sebaliknya menjadi rakan kerjasama yang jujur bekerja dengan AirAsia demi kepentingan Sabah.

Riad merujuk kepada satu kenyataan MAHB baru-baru ini bertajuk trafik udara dan pelancongan Sabah semakin meningkat dan MAHB mencadangkan pertumbuhan negatif pada 2014 dan 2015 di KKIA adalah sebab bagi memindahkan AirAsia ke T1 KKIA.