Pengurus Kanan Lapangan Terbang Malaysia Airports Sdn. Bhd. (MAB), Jun Iskandar Murshidi berkata, tender bagi pihak perunding projek telah dilaksanakan dan perlantikan dijangka dibuat menjelang Julai.

Selepas kajian awal dilakukan, MAB akan memanggil semua pihak yang berkepen­tingan untuk memberi input mengenai kemudahan yang perlu ada di kompleks tersebut.

“Ini adalah sebahagian daripada pembangunan semula KIA dengan ruang yang lebih besar dan kemudahan pengendalian kargo yang lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas sesi dialog antara pihak yang berkepentingan di lapangan terbang itu, seperti MAB, MAB Kargo Sdn Bhd (MASkargo), Pos Aviation Sdn. Bhd., Raya Airways dan Persatuan Agensi Pengiriman Sarawak (SFAA) di KIA hari ini.

Beliau bagaimanapun, tidak mengumumkan kos projek berkenaan.

Menurut Jun Iskandar, MAB mengendalikan 26,816 tan metrik kargo pada tahun lepas berbanding 24,620 tan metrik pada 2017 dan 22,500 tan me­trik pada 2016, iaitu peningkatan sembilan peratus setahun.

Pembantu Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Dr. Jerip Susil yang turut hadir pada sesi dialog itu berkata, KIA amat memerlukan terminal kargo yang lebih besar serta naik taraf kemudahan bagi memenuhi permintaan kargo semasa.

“Kami benar-benar memerlukan kompleks kargo di KIA kerana kemudahan sedia ada masih tidak memuaskan untuk kerja-kerja pemunggahan kargo,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan kepada maklum balas yang diterima, pihak-pihak berkepentingan mahu MAB menaik taraf fasiliti pengendalian kargo KIA kerana ruang sekarang adalah terlalu kecil, selain daripada kemudahan yang kurang memuaskan, termasuk keperluan bagi jabatan kastam untuk dilengkapi dengan pengimbas yang lebih baik. – BERNAMA