Pengurusnya, Mohammad Syu­­kri Ismail berkata, harga trak makanan yang ditawarkan pihaknya adalah serendah RM26,500 hingga RM50,000 sebuah.

Katanya, harga tersebut adalah termasuk insurans, cukai jalan, permit kenderaan dan peralatan perniagaan seperti meja operasi, tangki air bersih, sinki dan pelbagai aksesori lain.

“Harga yang kita tawarkan ini adalah antara paling murah di pasaran dan kita juga menyedia­kan beberapa cara pembiayaan kepada usahawan yang berminat untuk menceburi bidang ini,” katanya dalam sidang akhbar sempena majlis penyerahan trak makanan kepada lima usahawan di Wisma Kohijrah di sini semalam.

Mohammad Syukri berkata, bagi usahawan negeri ini, Kohijrah menyediakan pembiayaan menerusi tabung Yayasan Hijrah Selangor dan bagi usahawan di luar Selangor pembiayaan adalah menerusi bank-bank terpilih.

Katanya, antara syarat bagi usahawan yang berminat untuk mendapatkan trak makanan ini adalah mereka mesti mempu­nyai sijil pendaftaran perniagaan daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan penyata bank selama tiga bulan bagi usahawan negeri ini dan enam bulan bagi usahawan luar Selangor.

“Bagi pembayaran balik pula, tempoh pembiayaan adalah antara enam bulan hingga lima tahun bergantung kepada jenis pinjaman.

“Sehingga kini, kita sudah menyerahkan 30 buah trak makanan kepada usahawan-usahawan di Selangor,” katanya.