Pengarah Urusannya, Lim Swee Ee berkata, sasaran itu mampu dicapai dengan siapnya fasa pertama kompleks kilang pengeluarannya di Senawang dekat sini yang dijangka mula beroperasi bulan depan.

Beliau berkata, kilang ber­kenaan dijangka mengeluarkan sebanyak 1,400 metrik tan produk kaca dan cermin setiap bulan.

“Kami ingin mencapai se­kurang-kurangnya 50 peratus jualan untuk pasaran tempatan manakala bakinya akan dieksport ke Korea Selatan, negara-negara Arab dan sebahagian kecil untuk pasaran Indonesia dan Thailand.

“Jualan untuk pa­­saran tempatan mampu memberi nilai yang lebih baik dalam bentuk penjimatan tukaran wang asing jika produk ini diimport dari luar,” katanya dalam sidang akhbar di majlis perasmian siap kerja fasa pertama kilang itu dan memulakan proses memanaskan relau peleburan kaca di sini hari ini.

Majlis itu telah disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Swee Ee memberitahu, pembinaan fasa pertama itu membabitkan pelaburan kira-kira RM900 juta oleh pengeluar produk kaca dan cermin terbesar di China, Kibing Group Co. Ltd. melalui perjanjian jual beli Samsung Corning Precision Materials yang berope­rasi di kawasan Perindustrian Tuanku Ja'afar, Senawang.

Tambahnya, syarikat me­­­ra­n­­cang melabur kira-kira RM500 juta lagi bagi pembinaan kilang kedua di kawasan sama yang dijangka beroperasi Februari tahun depan.

Sementara itu, Mohamad memuji langkah Kibing menggunakan hampir 100 peratus kepakaran dan kemahiran anak tempatan termasuk jurutera dan juruteknik bagi pembinaan kilang tersebut.