Selepas ia dibangkitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di laman Facebook miliknya, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali pula membalasnya di Twitter. Sama ada ia salah BN atau PH, hakikatnya Khazanah sudah rugi.

Penganalisis berpendapat, apa yang berlaku ke atas Khazanah adalah kesan big bath iaitu apabila berlaku pertukaran di peringkat kepemimpinan. Kita sudah maklum apa berlaku kepada sayap pelaburan ini pada Julai tahun lepas yang menyaksikan sembilan ahli lembaga pengarah meletak jawatan.

Ini termasuk Pengarah Urusannya, Tan Sri Azman Mokhtar yang kemudiannya digantikan dengan Datuk Shahril Ridza Ridzuan, yang sebelum itu adalah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

 

Tutup Malaysia Airlines?

Selasa lalu, Khazanah meng­umumkan kerugian besarnya berbanding keuntungan RM2.9 bilion yang direkodkan tahun sebelumnya adalah disebabkan rosot nilai. Ia menyaksikan nilai aset bersih menurun lebih 20 peratus atau RM25 bilion kepada RM91 bilion setakat 31 Di­sember 2018 berbanding RM161 bilion tahun sebelumnya.

Rosot nilai Khazanah berjumlah RM7.3 bilion yang direkodkan tahun lalu, sebahagian besarnya disumbangkan oleh Malaysia Airlines. Jumlah rosot nilai pada 2018 adalah tiga kali ganda melebihi rosot nilai sebanyak RM2.3 bilion pada 2017.

Susulan itu, beberapa penganalisis melihat terdapat keperluan supaya Malaysia Airlines dijual atau ditutup kerana setelah dijadikan syarikat persendirian oleh Khazanah pada 2014 ia masih tidak mampu berdiri sendiri.

Langkah itu merupakan sebahagian daripada program pelan pemulihan lima tahun Malaysia Airlines dengan suntikan dana berjumlah RM6 bi­lion. Malah, Shahril Ridza berkata, Khazanah akan memastikan pelan pemulihan yang memasuki fasa akhir itu akan dilaksanakan sepenuhnya.

Namun, tindakan ini adalah tidak wajar. Dengan menutup dan menjual Malaysia Airlines bukan penyelesaian jangka panjang yang baik. Khazanah mengambil alih Malaysia Airlines disebabkan agenda nasional. Jika bukan Khazanah mempertahankan beberapa syarikat milik kerajaan (GLC) penting kepada negara, agensi mana yang sanggup pikul tanggungjawab ini?

Masa depan para pekerjanya juga perlu diambil kira walaupun ada berpendapat asetnya boleh dijual untuk membayar hutang dan pekerjanya disa­lurkan kepada syarikat penerbangan lain seperti Malindo Air atau AirAsia.

Sejak dinyahsenarai dari Bursa Malaysia mulai 2015 hingga 2017, Malaysia Airlines merekodkan kerugian seba­nyak RM2.3 bilion disebabkan kelemahan ringgit dan kos bahan api yang tinggi.

Jual aset

Sejak November lalu, selepas penyusunan semula Khazanah, ia dilihat menjual satu demi satu asetnya terutama pegang­annya dalam IHH Healthcare Bhd. kepada syarikat Jepun, Mitsui & Co. Ltd. dengan nilai RM8.42 bilion, diikuti penjualan pegangan Axiata dalam M1 Ltd. bernilai RM1.65 bilion.

Awal minggu ini pula, Khaza­nah dilaporkan akan melupuskan pegangan dalam taman tema Lego pertama di Asia, Legoland Malaysia Resort (Legoland Malaysia), dengan nilai sekitar RM1 bilion termasuk hutang.

Namun, Shahril Ridza memberitahu, Khazanah hanya akan menjual aset berkenaan sekiranya mendapat tawaran yang baik. Beliau juga tidak menolak sebarang cadangan penjualan aset asalkan ia mampu memberi pulangan yang baik pada masa depan.

Oktober lalu, Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Tony Pua berkata, Khazanah dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) akan mengkaji semu­la dan mencairkan beberapa ‘aset tidak strategik’ sebagai sebahagian daripada langkah penjimatan kerajaan.

Bagaimanapun, Pengerusi PNB, Tan Sri Dr. Zeti Aziz menegaskan PNB harus memberi keutamaan kepada para pelabur yang disifatkan sebagai hak milik awam dan walaupun aset berkenaan dilupuskan ia tidak memberi kesan kepada kewangan kerajaan.

Ke mana hala tuju Khazanah?

Selepas kerajaan berikrar untuk membersihkan GLC daripada pengaruh politik demi mengembalikan semula keuntungan syarikat-syarikat ini, Khazanah sepatutnya menjadi peneraju dalam perkara ini terutama dengan mandat baharu yang dipikulnya.

Di bawah mandat baharu itu, seperti diluluskan Lembaga Pengarah, Khazanah perlu meningkatkan kekayaan jangka panjang Malaysia dengan berusaha ke arah dua objektif pelaburan iaitu komersial dan strategik. Ia akan dilaksanakan melalui struktur pelaburan dwi-dana.

Azmin sendiri merupakan satu daripada Ahli Lembaga Pengarah Khazanah bersama dengan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed sebagai Pengerusi. Pastinya seluruh rakyat Malaysia mahu melihat Khazanah kembali mencatat keuntungan dalam tahun ini.

Sudah tentu ini yang kita nanti-nantikan setelah pelaburan-pelaburan Kha­zanah sebelum ini dilihat tidak ekonomikal sekalipun Khaza­nah tidak pernah rugi sejak 2005.