Pengarah Urusannya, Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, prestasi dana pelaburan strategik negara itu terjejas pada 2018 oleh beberapa perkembangan membabitkan aspek ekonomi dan sosial di dalam negara juga global.

Katanya, Khazanah mencatat kerugian sebelum cukai seba­nyak RM6.27 bilion pada 2018 berbanding keuntungan sebelum cukai RM2.89 bilion setahun sebelumnya, kerugian pertama sayap pelaburan kerajaan itu sejak 2005.

“Portfolio Khazanah terus dipengaruhi oleh perkemba­ngan domestik pada 2018 berikutan perubahan pengawalseliaan, unjuran yang lebih suram serta turun naik pasaran.

“Pada 2019, kami akan membangunkan dasar, garis panduan serta proses bagi struktur dwi-dana seperti dana komersial dan strategik selain menyusun semula dan mempertingkat keupayaan dalaman bagi menjayakan mandat yang diberi nafas baharu itu,” katanya kepada pemberita ketika mengumumkan Ulasan Tahunan Khazanah 2019 (KAR 2019) di sini hari ini.

Dana komersial adalah dana kekayaan jangka panjang de­ngan sasaran pulangan yang setara dengan Indeks Harga Pengguna Malaysia (CPI) ditambah tiga peratus pada asas lima tahun berterusan.

Ia termasuk aset awam se­perti Kumpulan CIMB, Kumpulan Axiata, IHH Healthcare dan Ali­baba.com serta aset persendirian seperti The Holstein Milk Company, Sun Life Malaysia, WeLab dan Palantir.

Dana strategik pula merupakan dana pembangunan dengan sasaran pulangan bersamaan dengan hasil Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) selama 10 tahun pada asas lima tahun berterusan, serta manfaat ekonomi yang boleh diukur.

Ia termasuk aset strategik seperti Telekom Malaysia, Tenaga Nasional, Malaysia Airlines, Malaysia Airports dan PLUS Malaysia; serta aset pembangunan seperti Silterra, Iskandar Investment Berhad, Themed Attractions Resort & Hotels, Pinewood Iskandar Malaysia Studios dan Medini Iskandar Malaysia.

Prestasi pasaran syarikat-syarikat utama yang dilabur oleh Khazanah turut susut pada 2018 termasuk Axiata (-26.9 peratus), Telekom Malaysia Bhd. (-56.9 peratus), Tenaga Nasional Bhd. (-7.9 peratus), IHH Healthcare (-7.6 peratus), CIMB (-9.3 peratus) dan Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) (-3.3 peratus).

Pada tahun lepas, keuntu­ngan dana itu dijejaskan oleh pengurangan penjualan, pendapatan dividen lebih rendah serta peningkatan susut nilai ketika tempoh peralihan Khaza­nah dalam keadaan pasaran yang suram.

Nilai portfolio Khazanah berdasarkan ukuran Nilai Bersih Dilaraskan (NWA) merosot kepada RM91 bilion setakat 31 Di­sember 2018 selepas mencatat penyusutan sebanyak 21.6 peratus daripada RM116 bilion pada 31 Disember 2017.

Pada 2018, dana pelaburan itu telah mengumumkan dividen sebanyak RM1.5 bilion. Bagi tempoh sama, aset boleh tunai berkurangan kepada RM136 bilion daripada RM157 bilion.

Prestasi portfolio jangka panjang Khazanah kekal di trajektori peningkatan dengan NWA mencatat pulangan 11 peratus setahun sejak 10 tahun lepas.