Peringatan itu dikeluarkan bekas Pengarah Urusan Khaza­nah yang pertama, Tan Sri Mohd. Sheriff Mohd. Kassim pada sesi panel Forum Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 2019 anjuran Yayasan Kepimpinan Perdana. Beliau dilantik ke jawatan tersebut pada 16 Mei 1994.

Mohd. Sheriff berkata, terdapat tiga syarikat pelaburan milik kerajaan (GLIC) utama di negara ini iaitu Khazanah, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dengan fokus masing-masing yang berbeza.

Katanya, berbanding Khaza­nah yang berperanan sebagai dana pelaburan nasional, PNB dan KWSP pula perlu memberi keutamaan kepada pelaburan portfolio bagi membolehkannya membayar dividen kepada pencarum dan pemegang unit amanahnya.

“Dalam konteks ini, Khaza­nah menguruskan syarikat de­ngan visi yang strategik dan memainkan peranan sebagai sayap pelaburan kerajaan serta juga sebagai pemangkin kepada pembangunan ekonomi negara.

“Dengan peranan yang dimainkan Khazanah ini, sudah pasti ia bukan sebuah institusi bumiputera sebaliknya ia adalah institusi nasional,” katanya dalam sesi tersebut di sini hari ini.

Mohd. Sheriff juga menca­da­ng­kan supaya syarikat milik­ kerajaan (GLC) yang besar dipanggil ke Parlimen bagi menjawab soalan daripada jawatankuasa pemilih sebagai lang­kah memastikan ketelusan pentadbirannya.

Khazanah diperbadankan di bawah Akta Syarikat 1965 pada 3 September 1993 sebagai syarikat awam berhad dan memulakan operasi setahun kemudian. Setakat 31 Disember 2018, Nilai Aset Boleh Tunai (RAV) adalah RM135.5 bilion manakala Nilai Bersih Dilaraskan (NWA) ialah RM90.6 bilion.

Dana pelaburan itu menca­tatkan kerugian sebelum cukai sebanyak RM6.271 bilion pada 2018, berbanding keuntu­ngan sebelum cukai sebanyak RM2.896 bilion pada tahun sebelumnya,

Sehubungan itu, di bawah mandat baharu, Khazanah perlu meningkatkan kekayaan jangka panjang Malaysia dengan berusaha ke arah dua objektif pelaburan iaitu komersial dan strategik yang akan dilaksanakan melalui struktur pelaburan dwi-dana.

Pada sesi tersebut, yang turut dihadiri Pengarah Urusan Khaza­nah yang dilantik Ogos lalu, Datuk Shahril Ridza Ridzuan, beliau berkata, peranan GLIC dan syarikat milik kerajaan (GLC) sepatutnya perlu lebih jelas bagi memastikan peranan yang dimainkan institusi-institusi berkenaan adalah relevan.

Beliau menjelaskan, KWSP tidak sepatutnya dikategorikan sebagai GLIC kerana melibatkan sumber dana daripada penca­rum dan tidak ada kaitan dengan kerajaan.

Sebaliknya, ujar Shahril Ridza, penglibatan sebenar kerajaan dalam GLIC adalah melalui Kha­zanah dan Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP). Tetapi, tidak semua syarikat di bawah Khazanah atau KWAP sepatutnya bertaraf GLC.

“Ini kerana terdapat syarikat pegangan kami, terlibat sepenuhnya dalam pelaburan bagi mendapatkan pulangan dan bukannya mempunyai peranan strategik atau melibatkan dasar kerajaan tertentu.

“Jadi, di bawah mandat baharu yang diberikan kepada kami, hala tuju Khazanah lebih jelas. De­ngan melihat kepada Kha­zanah hari ini, pada pandangan kami, syarikat-syarikat pega­ngan kami seperti IHH Healthcare Berhad, Axiata Group Berhad dan CIMB tidak boleh lagi diklasifikasikan sebagai GLC kerana ia lebih berorientasikan pasaran dan terbuka kepada persaingan.

“Sementara itu, kami melihat peranan GLC dalam Khazanah secara asasnya adalah dalam industri kawal selia seperti Tele­kom Malaysia Berhad (TM), Tenaga Nasional Berhad (TNB), PLUS dan Malaysia Airport Hol­dings Berhad (MAHB) yang mana menggunakan pertumbuhan ka­wal selia dan pemilikan untuk memacu pendapatan seimbang bagi negara dan menjana pulangan ke atas aset,” katanya yang sebelum ini merupakan Ketua Pegawai Eksekutif KWSP.

Menurut Shahril, untuk itu, jika ada pendapat mengatakan ekonomi Malaysia dikuasai oleh GLC atau kerajaan, kenyataan itu tidak tepat memandangkan ia tidak harus didefinasikan oleh pemilikan sebaliknya melalui peranan entiti.