Shahril Ridza Ridzuan
Shahril Ridza Ridzuan 

Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, ini kerana kerajaan juga masih dalam proses membuat kajian mengenai cadangan tersebut sama ada konsep syarikat kereta nasional ketiga itu berdaya maju kepada negara.

“Secara dasarnya, kami memiliki syarikat swasta yang boleh membekalkan komponen, perkhidmatan dan teknologi.

“Dalam hal ini, syarikat ini iaitu SilTerra berhasrat untuk mengeluarkan lebih banyak komponen cip dan pengesan untuk sektor automotif, jadi ia mahu berkembang untuk menjadi lebih komersial,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi mengenai Pelaburan Malaysia ke China pada Persidangan China 2018 di sini hari ini.

Sebelum ini, Timbalan Pre­siden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong mendedahkan SilTerra akan menggunakan dana awam untuk melabur dalam projek kereta nasional ketiga.

Susulan itu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, tidak menjadi kesalahan buat Khazanah termasuk anak syarikatnya, SilTerra terba­bit dalam projek tersebut kerana ia merupakan entiti bebas yang menjalankan perniagaan.

Bagaimanapun, dalam sesi berlainan pada persidangan tersebut, Penganalisis Ekonomi Politik di Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran Universiti Malaya, Prof. Edmund Terence Gomez berkata, cadangan kerajaan untuk mewujudkan projek kereta nasional ketiga adalah membimbangkan dan kerajaan perlu membuat penilaian dengan teliti.

“Kerajaan tidak boleh meneruskan projek ini tanpa melaksanakan penilaian terlebih dulu. Saya juga ingin mengetahui sama ada Kabinet bersetuju atau tidak dengan cadangan ini. Adakah persetujuan sudah dicapai,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Shahril Ridza berkata, Khazanah melihat lebih banyak peluang pelaburan dalam sektor teknologi di China, antaranya e-dagang, media baharu dan kecerdasan buatan (AI).

“Pasaran China adalah lebih besar berbanding Malaysia dari segi permintaan produk dan perkhidmatan. Malah, China juga adalah peneraju global dalam pelbagai teknologi terutama dalam teknologi kewa­ngan dan pengguna,” katanya.