Semalam, DRB-Hicom da­lam makluman kepada Bursa Malaysia berkata, PACL ber­depan saman sivil yang me­nuntut sebanyak 860.61 juta renminbi (RM522.9 juta) di Mahkamah Tinggi Guangdong, China.

PACL dan Perusahaan Oto­mobil Nasional Sdn. Bhd., (PONSB) dinamakan sebagai defendan da­­lam tuntutan yang di­hantar oleh Goldstar. Kedua-dua anak syarikat Proton itu dikehendaki hadir ke mahkamah pada 9 Julai ini.

Mengulas tentang per­kara itu, firma penyelidikan, PublicInvest Research berkata, jika pem­belaan ter­sebut gagal, ia akan ­mengakibatkan kesan kewa­ngan yang ketara ke atas kumpulan.

 

“Buat masa ini, kami me­nge­kalkan unjuran kami sehingga wujud petunjuk baharu dan pada masa sama menyatakan ia mempunyai risiko kewangan yang berpotensi besar.

“Kami mengekalkan saranan ‘cemerlang’ ke atas DRB tetapi dengan sasaran harga yang lebih rendah pada RM2.10 sesaham memandangkan kami telah meningkatkan faktor diskaun kami berikutan ketidaktentuan pada masa sekarang,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

PublicInvest Research ba­gai­manapun masih positif ke atas prospek jangka panjang kumpulan berkenaan, berda­sarkan kepada pemulihan Proton.

Tuntutan adalah ber­kaitan kontrak yang dimeterai antara anak syarikat 50.1 peratus Proton, Lotus Group International Ltd. (LGIL) dan Goldstar pada 17 April 2015 untuk menubuhkan sebuah syarikat usaha sama (JV) Goldstar Lotus Automobile Co. Ltd. (GLAC).

Proton memiliki kepen­­ti­ngan di dalam GLAC sebanyak 40 peratus, LGIL (10 peratus) dan Goldstar (50 peratus).

GLAC dirancang untuk me­ngeluar dan menjual kereta serta alat ganti Lotus, selain menyediakan perkhidmatan selepas jualan di China.

Bagaimanapun, sele­pas gagal mendapatkan lesen pengeluaran pada tarikh akhir 31 Di­sember 2017, kontrak JV itu dibatalkan pada 22 Januari tahun lalu. Berikutan itu, GLAC tidak dapat memulakan operasi perniagaannya.

Jelas DRB-Hicom, syarikat itu dan penasihat undang-undangnya sedang meneliti tuntutan yang dibuat oleh Goldstar dan akan mengambil langkah yang perlu untuk mempertahankannya.