Pengerusi FGV, Datuk Wira Azhar Abdul Hamid berkata, sebelum ini FGV telah melantik beberapa individu bagi memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Kewangan kumpulan, Ketua Pegawai Perolehan, Ketua Pegawai Operasi bagi operasi perladangan serta Ketua Pegawai Sumber Manusia yang baharu.

“Pelantikan terakhir adalah untuk GCEO baharu yang kami harap dapat diumumkan dalam tempoh beberapa hari akan datang,” katanya dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, di sini hari ini.

Beliau berkata, pasukan baharu itu akan melaksanakan pelan transformasi yang telah dirancang dan akan mempunyai tugas untuk memulihkan syarikat itu, dipimpin oleh Lembaga Pengarah mereka.

“Dengan pasukan profesional ini, FGV akan dapat membuat perubahan yang perlu, membuat keputusan yang sukar untuk mengurangkan pembaziran dan ketirisan serta mula memanfaatkan setiap aset yang dimiliki,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hari ini menegaskan yang beliau masih belum menerima sebarang cadangan nama individu yang berpotensi dilantik sebagai CEO baharu FGV dan tidak tahu bilakah syarikat tersebut akan mengemukakan cadangan itu.

Laporan sebelum ini menyatakan beberapa nama sudah dikemukakan bagi pertimbangan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dan kementerian diterajui oleh Azmin itu telah menolak tiga nama yang dicadangkan oleh Lembaga Pengarah syarikat itu. - UTUSAN ONLINE