Pengarah Urusan RHB Bank Bhd., Datuk Khairussaleh Ramli berkata, ekonomi Malaysia dijangka berkembang 4.6 peratus pada 2019 dengan aktiviti sektor swasta akan terus menjadi pemacu utama pertumbuhan sementara pemulihan dalam pengeluaran komoditi dijangka menyokong eksport pertumbuhan.

Katanya, bagi sektor perbankan, pinjaman dijangka berkembang antara lima peratus hingga 5.5 peratus, disokong oleh segmen pengguna dan perniagaan.

“Kami gembira kerana telah menghasilkan prestasi yang baik pada tahun 2018 dan berjaya mening­katkan pulangan ke atas ekuiti (ROE) melebihi 10 peratus.

“Asas-asas kami kukuh dengan nis­bah modal yang tinggi, kedudukan mudah tunai yang sihat dan liputan yang mencukupi untuk kerugian pinjaman.

“Kami akan te­rus melabur dalam infrastruktur teknologi dan keupayaan digital dan mempromosikan budaya kerja Agile untuk meningkatkan daya saing kecekapan operasi dan memberi perkhidmatan kepada pelanggan kami dengan lebih baik,” katanya dalam ke­nya­taan di sini hari ini.

Kumpulan perbankan itu merekodkan keuntungan bersih berjumlah RM2.31 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018 dipacu oleh pendapatan berasaskan dana bersih yang lebih tinggi dan elaun yang lebih rendah bagi kerugian kredit ke atas pinjaman.

Keuntungan bersihnya me­lonjak 18.2 peratus daripada RM1.95 bilion yang dicatat pada tahun kewangan sebelumnya.

Perolehan kumpulan bagi tahun kewangan di bawah semakan juga turut mening­kat 6.96 peratus kepada RM12.69 bilion daripada RM11.87 bilion tahun lalu.

“Pendapatan yang lebih tinggi direkodkan susulan peningkatan dalam pendapatan berasaskan dana bersih yang naik 8.5 peratus kepada RM4.94 bilion berbanding tahun sebelumnya.

“Pendapatan berasaskan dana kasar juga meningkat 7.8 peratus disebabkan peningkatan pinjaman dan pembiayaan kasar sebanyak 5.5 peratus, sementara perbelanjaan dan perbelanjaan faedah naik 7.3 peratus tahun ke tahun,” katanya.