Adakah kedudukan kewangan telah stabil? Menteri Kewangan Lim Guan Eng pada 22 Februari lalu mendakwa hutang negara masih bernilai trilion ringgit, biarpun beliau mendakwa ia hanya berjaya dikurangkan pada kadar minimum selepas sembilan bulan PH mengambil alih tampuk pemerintahan negara.

Jumlah kos untuk mengambil alih lebuh raya di Malaysia dianggarkan mencecah RM100 bilion, dengan bahagian ekuiti syarikat konsesi membentuk jumlah yang lebih besar daripada bon bernilai RM52 bilion yang terhutang oleh syarikat-syarikat lebuh raya.

Dengan 23 syarikat yang mengeluarkan bon dan sukuk bernilai RM52.83 bilion pada Mei tahun lepas, penganalisis berkata, bahagian ekuiti mana-mana pengambilalihan dianggarkan antara RM60 bilion dan RM80 bilion, yang akan menjadikan jumlah kos kepada RM130 bilion.

Sumber pendapatan

Jika dilihat daripada laporan firma penganalisis Affin Hwang Capital, pegangan Gamuda ke atas empat buah tol iaitu Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint), Lebuh Raya Shah Alam (Kesas) dan Tero­wong Smart dianggarkan bernilai RM4.78 bilion atau RM1.94 sesaham.

Konsesi lebuh raya merupakan sumber pendapatan yang stabil bagi Gamuda. Ia memiliki pegangan sebanyak 70 peratus dalam Kesas, Sprint (52 peratus), Terowong Smart (50 peratus) dan LDP (44 peratus).

Hasil daripada mekanisme kutipan tol di keempat-empat lebuh raya ini, aset konsesi berkenaan telah menyumbang pendapatan yang stabil kepada kumpulan Gamuda.

Secara keseluruhan, segmen konsesi menyumbang 41 peratus daripada keuntungan sebelum cukai bagi tahun kewangan berakhir Oktober 2018.

Menurut nota penyelidikan CIMB Equities Research, bergantung kepada rundingan dalam minggu atau bulan akan datang, kebimbangan jangka panjang adalah kesinambungan perolehan dan pendapatan konsesi lebuh raya, yang jika dilupakan, hanya akan meninggalkan dua segmen perniagaan utama iaitu pembinaan dan hartanah kepada Gamuda.

“Pada pandangan kami, sama ada berita ini positif atau negatif kepada Gamuda, ia bergantung kepada perjanjian pengambilalihan. Kesepakatan itu akan menjadi negatif kepada Gamuda jika harga atau harga tawaran tidak mengambil kira pendapatan masa depan konsesi tol atau sebaliknya, tidak mengimbangi Gamuda untuk kerugian dalam pendapatan tol masa depan sepanjang baki tempoh konsesi,” katanya.

Kerugian

Setelah pengambilalihan penuh, ini bermakna Gamuda berdepan dengan kerugian yang ketara terhadap pendapatan berulang stabil kumpulan.

Jika rundingan pengambilalihan itu berjaya dimeterai sekali pun, ia mungkin akan dilaksanakan dalam beberapa fasa.

Ini kerana terdapat beberapa pertimbangan kos diperlukan, ditambah dengan keutamaan kerajaan untuk mengawal perbelanjaannya.

Pengumuman mengenai hal pengambilalihan tol itu juga dilihat hanya menimbulkan ketidakpastian mengenai Gamuda sekali gus meletakkan pelabur dalam mod berhati-hati.

Harga saham Gamuda sehingga kini berada pada aliran meningkat yang signifikan, yang sebahagiannya telah membalikkan beberapa kerugiannya dalam separuh kedua 2018. Ia telah pulih sebanyak 35.1 peratus dan mencapai paras melebihi sasaran ditetapkan beberapa firma penganalisis tempatan.

Namun, selepas pengumuman yang dibuat Sabtu lalu ia menyaksikan saham Gamuda susut 5.92 peratus atau 18 sen kepada RM2.86 sesaham 
petang ini.