Sejak penubuhannya lebih 30 tahun lalu, syarikat yang aktif mengurus jual beli kenderaan itu terus mengembangkan model perniagaannya seiring keperluan semasa industri permotoran yang menuntut penyediaan perkhidmatan lebih strategik dan lengkap di bawah satu bumbung.

Pengarah Rahman Brothers Motor Sdn. Bhd., Ernie Erdawaty Datuk Abd. Rahman berkata, bagi memastikan konsep perniagaan diuruskan lebih terangkum dan relevan trend terkini pelbagai strategi diatur serta dilaksanakan oleh syarikat.

Katanya, antara inisiatif diambil adalah mengoptimumkan fasiliti premis dengan menambah pelaburan bagi meningkatkan kapasiti operasi secara lebih sistematik termasuk penyediaan kemudahan setempat untuk pameran dan jualan kenderaan serta khidmat selepas jualan.

“Hasil usaha keras dan komitmen berterusan yang diambil, kemudahan ditawarkan kini lebih menyeluruh di mana semua keperluan disediakan di sini lengkap merangkumi khidmat jualan, senggara kenderaan dan perkhidmatan baik pulih serta alat ganti (3S).

“Langkah agresif ini bagi memastikan produk dan perkhidmatan diberi lebih mesra pengguna malah mencakupi segenap keperluan diinginkan supaya setiap kemudahan ditawarkan memenuhi aspektasi pelanggan kami yang berbagai,” katanya ketika ditemui di Wisma Rahman Brothers Motor Sdn. Bhd., Persiaran Jubli Perak, Seksyen 22, Shah Alam, baru-baru ini.

Rahman Brothers Motor juga dikenali RBM mula beroperasi pada 1980 di Johor Bahru berbekal modal RM1 juta. Pengasasnya, Datuk Abdul Rahman merupakan individu terpenting di sebalik kecemerlangan syarikat pemegang permit import (AP) ini yang membawa masuk pelbagai jenama dari Jepun dan Eropah seperti Honda, Toyota, Mercedes dan BMW ke pasaran tempatan.

Sebagai salah sebuah syarikat berdaftar dengan Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema), Rahman Brothers Motor telah merintis kejayaan yang membanggakan termasuklah memiliki 17 subsidiari syarikat yang terlibat dalam pelbagai jenis perniagaan merangkumi pembangunan hartanah, pemaju perumahan, pengimport kereta dan motosikal serta lain-lain perkhidmatan.

Menurut Ernie, sejak beroperasi di Seksyen 22 Shah Alam lebih setahun lalu, sambutan yang diterima dari pelanggan amat memberangsangkan hasil keterangkuman perkhidmatan disediakan termasuk menjadi vendor bagi Proton, Suzuki dan Toyota Alphard.

Selain kereta, pihak pengurusan syarikat turut menjual pelbagai jenis motosikal berkuasa tinggi merangkumi jenama besar seperti Harley Davidson, Ducati dan Aprillia.

“Melalui pelaburan tambahan hampir RM1 juta, kami kini mengusahakan rantaian perkhidmatan yang kondusif termasuk menyediakan 12 lot untuk kerja-kerja baik pulih kenderaan, servis dan paling terbaharu kami tawarkan khidmat mengetuk dan mengecat (B&P).

“Daripada 12 lot bay yang disedia, dua daripadanya diguna untuk khidmat senggara dan baik pulih motosikal berkapasiti enjin 600cc. Kemudahan disediakan untuk keselesaan pelanggan di samping memupuk rasa yakin mereka terhadap perkhidmatan yang kami berikan,” katanya.

Terpilih sebagai salah sebuah syarikat pemilik AP sejak tahun 1984, Rahman Brothers Motor bukan sahaja agresif memanfaatkan peluang terhidang, malah berterusan merangka strategi bagi memastikan hak eksklusif dinikmati mampu dikembang seterusnya memanfaat perkembangan pesat dalam sektor automotif tempatan.

Ernie berkata, walaupun berdepan kekangan seperti ketidaktentuan ekonomi global dan kadar tukaran matawang ringgit, pihak syarikat kekal fokus untuk memacu pendapatannya melalui pengenalan pelbagai segmen perkhidmatan untuk keperluan pelanggan.

“Menyedari kekangan semasa yang terpaksa dihadapi, kami pelbagaikan kemudahan ditawarkan kepada pelanggan kerana kepuasan mereka adalah fokus utama kami untuk kekal kompetitif dan mampu menjana pendapatan secara berterusan,” katanya.