Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Nor Shamsiah Mohd. Yunus berkata, setiap pelan yang dikemukakan oleh penanggung insurans asing akan dinilai secara individu berdasarkan kes demi kes.

“Tarikh akhir ini berlaku secara dua hala. Ia adalah berdasarkan rancangan tentang bagaimana mereka berhasrat mematuhi syarat ketika melaksanakan usaha korporat.

“Bank pusat akan melihatnya mengikut kes demi kes berdasarkan rancangan mereka,” katanya pada sidang akhbar laporan pres­tasi kewangan suku keempat Malaysia di sini hari ini.

Malaysia sebelum ini mene­tapkan 30 Jun 2018 sebagai tarikh akhir bagi penanggung insurans asing untuk mengurangkan pemilikan dalam unit mereka yang beroperasi di negara ini kepada 70 peratus.

Ia diumumkan di bawah pelan liberalisasi kewangan pada 2009 dan pemilikan a­sing yang tinggi hanya diberikan dalam kes-kes tertentu sahaja.

Sebelum ini, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng meng­umumkan Great Eastern yang berpangkalan di Singapura diberi pengecualian tersebut selepas menyumbang dana sebanyak RM2 bilion bagi Skim Perlindungan Nasional B40 (mySalam) yang dilancarkan 24 Januari lalu.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Nor Shamsiah berkata, ketiadaan BNM dalam senarai Majlis Tindakan Ekonomi (MTE) tidak menjadi isu kerana bank pusat itu sentiasa terlibat melalui pelbagai platform dengan kerajaan.

“MTE merupakan platform untuk mengumpulkan maklumat yang lebih berstruktur daripada korporat dan perniagaan untuk membantu kerajaan dari segi dasar-dasar ekonomi tempatan dan BNM pula sebelum ini sentiasa berkomunikasi dengan kerajaan dalam pelbagai saluran.

Dalam pada itu, Nor Shamsiah turut mencadangkan beberapa perkara untuk pertimba­ngan MTE termasuklah menilai semula pelaburan swasta serta melihat isu kos sara hidup terutama daripada perspektif kos dan pendapatan.

“Antara perkara-perkara yang boleh dilihat ialah bagaimana untuk meningkatkan pendapatan terutamanya bagi golongan B40 serta melihat bagaimana kita dapat mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing, bagaimana kita boleh meningkatkan gaji dan produktiviti serta menyemak semula promosi pelaburan untuk bertindak balas terhadap perubahan dalam ekonomi global,” katanya.