Presiden Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema), Datuk Zainuddin Abd. Rahman berkata, ini kerana golongan bumiputera masih lagi ketinggalan terutama dalam peruncitan berbanding bangsa-bangsa lain.

“Walaupun orang kata kita tak memerlukan tongkat tapi saya melihat dalam sektor automotif ini, golongan bumiputera masih lagi jauh ketinggalan.

“Kalau ada insentif untuk bumiputera, kami minta kerajaan untuk tambah lagi supaya usahawan-usahawan bumiputera dapat berkembang,” katanya kepada Pekema Auto & Industri baru-baru ini.

Pekema adalah persatuan yang ditubuhkan bagi memajukan dan meningkatkan taraf ekonomi orang Melayu melalui perdagangan kenderaan terutamanya kereta import berjenama luar negara dengan pemberian Permit Import (AP).

Pemberian AP merupakan sebahagian daripada Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang dilancarkan pada 1971 bagi mewujudkan pelbagai perniagaan bagi membantu nasib orang Melayu termasuklah dalam sektor automotif.

Persatuan yang bermula dengan 48 syarikat ahli tersebut kini berkembang dengan jumlah keahlian mencecah 250 syarikat meliputi 100 pemegang AP kereta, 65 motosikal dan selebihnya adalah pengedar.

Zainuddin berkata, daripada segi automotif, usahawan-usahawan bumiputera ini terus kekal di Malaysia dan memberikan peluang-peluang perniagaan dan pekerjaan kepada rakyat negara ini.

“Ini seterusnya dapat membantu syarikat-syarikat bumiputera yang lain apabila peluang perniagaan ini diberikan kepada mereka. Berbanding dengan syarikat-syarikat francais gergasi dari luar negara keuntungan itu akan dibawa ke keluar.

“Selain itu, syarikat francais ini juga kebanyakan peluang perniagaan untuk membekal peralatan dalam kereta mereka ini hanya diberi peluang perniagaan kepada rakan-rakan niaga mereka sahaja,” jelasnya.

Oleh demikian, beliau berkata, keistimewaannya bumiputera perlu dikekalkan untuk menjadi pemangkin kepada masa depan golongan ini.