Pengarah Urusan Trinity Group, Datuk Neoh Soo Keat berkata, projek mewah mampu milik setinggi 41 tingkat itu akan dibina pada tanah berkeluasan 1.17 hektar dan dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2022.

Kata beliau, Trinity Pentamont itu akan menyediakan seba­nyak 330 unit kediaman iaitu 90 peratus daripadanya berkeluasan 2,057 kaki persegi, sementara 10 peratus lagi bersaiz 1,300 dan 4,000 kaki persegi.

“Terdapat permintaan tinggi di kawasan ini terutama daripada pasaran domestik dan selepas mula mempromosi, kami menjangkakan kadar ambilan akan mencapai 100 peratus dalam tempoh setahun bermula sekarang.

“Kediaman ini dijual pada harga RM600 setiap kaki persegi menjadikannya berharga RM1.25 hingga RM1.5 juta, lebih rendah berbanding harga pasaran kondominium di Mont’Kiara sekitar RM900 setiap kaki persegi,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Trinity Group merupakan syarikat pemaju hartanah butik yang ditubuhkan pada 2014 oleh Soo Keat sendiri dan sehingga kini mempunyai GDV dalam projek-projek terkumpul sebelum ini mencecah RM1.297 bilion.

Ia termasuk The Heron Residency, 19 Residency, The Zest di Kinrara, Latitude di Subang, The Z Residence, Zeva di Equine Selatan dan terbaharu Trinity Aquata di Sungai Besi and Trinity Lemanja di Kepong.

Menurut Soo Keat, projek itu terletak di sepanjang Jalan Kiara 5 iaitu sebuah kawasan yang mewah selain berhampiran de­ngan pelbagai kemudahan gaya hidup seperti sekolah antarabangsa dan pusat membeli-belah.

“Terdapat pelanggan yang le­bih mementingkan kawasan contoh­nya walaupun terdapat rumah dengan harga mampu milik di Cheras, mereka lebih cenderung untuk memilih kawasan di Peta­ling Jaya atau Mont’Kiara” kata beliau.

“Dengan keistimewaannya iaitu saiz yang besar, Trinity Pentamont ini akan memenuhi keperluan keluarga dengan kanak-kanak yang mampu untuk menjalani kehidupan harian dengan selesa dan selamat,” kata beliau.

Menurut Soo Keat, pasaran hartanah khususnya kediaman kini melalui tempoh peralihan ke arah yang lebih positif kesan tahap keyakinan yang meningkat dengan kadar sifar cukai barang dan perkhidmatan (GST).

“Pasaran ini telah lemah sejak kebelakangan ini, jadi pembeli seharusnya mengambil peluang ini untuk membeli sebelum pasaran kembali meningkat kerana harga hartanah mungkin akan meningkat semula,” jelasnya.