Kekecewaan itu disuarakan oleh Presiden Pekema, Datuk Zainuddin Abd. Rahman yang menegaskan bahawa GLC tidak sepatutnya terlibat dalam sektor automotif, memandangkan banyak usahawan Melayu serta bumiputera aktif mengusahakannya.

Menurut beliau, GLC yang ditubuhkan bertujuan membantu merangsang ekonomi orang Melayu serta bumiputera sewajarnya memberi fokus untuk bersaing dengan pemain industri besar sama ada di dalam dan luar negara.

“Apa guna GLC ceburi sektor automotif dan bersaing dengan usahawan Melayu serta bumiputera? GLC sepatutnya menyokong perniagaan orang Melayu, bukannya bersaing dengan mereka.

“Apabila pasaran jualan kenderaan lembab, GLC tuding jari ke arah pemegang Permit Import (AP) dan ahli-ahli Pekema kononnya kami mengacau pasaran menyebabkan perniagaan menjual kenderaan mereka lembab.

“Dalam keadaan ekonomi sekarang, memang sukar untuk menjual kereta, kami juga hadapi kesukaran. Selain itu, pasaran kenderaan AP ini tidak sampai pun enam peratus daripada jumlah pasaran, terlalu kecil, bagaimana boleh kata kami kacau pasaran,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Ditanya mengapa GLC ingin melibatkan diri dalam sektor automotif, Zainuddin memberitahu bahawa kerana mereka melihatnya sebagai jalan mudah untuk menjana keuntungan.

Perkara itu, kata Zainuddin adalah tidak betul kerana GLC sepatutnya memberi fokus kepada perniagaan `asas’ masing-masing.

“Contohnya kalau asas GLC itu ialah sektor hartanah, tumpu sahaja pada sektor tersebut. Jangan sibuk mahu libatkan diri dalam sektor automotif.

“Sepatutnya GLC ini kembangkan syarikat mereka, yang syarikat-syarikat Melayu dan bumiputera masih belum mampu lakukan seperti francais ke luar negara, di China contohnya. Bukannya bersaing dalam negara dengan syarikat Melayu yang baru mula mencari tapak,” jelas beliau.