MUSTAFA PAWAN
MUSTAFA PAWAN 

Datuk Mustapa Pawan yang menyertai syarikat itu pada 1970 sejurus tamat pengajian di Institut Teknologi Mara (ITM) yang kini sudah dinaik taraf kepada Universiti Teknologi Mara (UiTM), mengakui pekerjaan itu memerlukan minat yang mendalam.

Setelah sekitar 27 tahun berkhidmat, beliau kemudiannya mengambil alih tampuk kepemimpinan Kulitkraf pada 1997, mengambil peluang daripada galakan kerajaan untuk menswastakan pengurusan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan sekitar tahun itu.

Mengimbau kenangan lama, Mustafa berkata, Kulitkraf dibantu oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dengan empat orang pakar dalam pelbagai bidang pembuatan kasut telah dihantar berkhidmat dengan Kulitkraf selama 10 tahun bermula 1970.

“Kulitkraf bermula dengan perniagaan rawatan kulit. Kulit mentah kita rawat hingga digunakan untuk membuat kasut. Namun, kita hentikan proses itu pada 1979 kerana mencemarkan air. Saat itu kita fokus kepada pembuatan kasut kulit,” kata beliau.

Syarikat itu hingga kini mampu menghasilkan kasut menggunakan empat jenis teknik pemasangan tapak mengikut keperluan dan permintaan iaitu Goodyear Welted Construction, Direct Moulded Sole, Mock Welted Contruction dan Stuck On Construction.

Kulitkraf mempunyai kapasiti pengeluaran 500,000 pasang kasut dalam setahun tetapi pengeluaran bergantung kepada tempahan dan permintaan. Kebiasaannya secara purata, syarikat itu mengeluarkan 15,000 pasang kasut dalam tempoh sebulan.

“Kulit-kulit asli yang digunakan untuk membuat kasut ini ada dua jenis iaitu kulit lembu yang diimport dari Argentina dan juga kulit kerbau dari India. Kulit kerbau ini tebal sedikit jadi lebih tahan, tetapi kulit lembu lebih berkualiti untuk kasut.

“Pelanggan utama kami ialah Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri, selain itu syarikat juga pernah menghantar kasut untuk kegunaan polis dan askar Oman, Maldives, Brunei, Singapura, Sri Lanka, Australia, Fiji dan Laos di bawah PBB,” katanya.

Apa yang menjadikan kasut itu istimewa ialah tidak ramai pemain industri yang mengkhususkan kepada kasut tahan lasak untuk kegu­naan ketika kawat, pertempuran atau di kilang yang semuanya memerlukan daya tahan tambahan tidak seperti kasut biasa.

Meskipun begitu, Kulitkraf tidak terlepas daripada persaing­an hebat kasut import dari China di pasaran tempatan kerana harganya jauh lebih murah. Atas sebab itu, Kulitkraf sentiasa memastikan kualitinya setanding kasut di peringkat antarabangsa.

“Kalau kita mahu bersaing dari segi harga memang susah. Memang mereka cakap kasut itu diperbuat daripada kulit juga. Tetapi, kulit yang digunakan itu boleh dipersoalkan sama ada asli atau tidak. Sebab itu, pelanggan masih setia de­ngan Kulitkraf.

“Selain itu, cabaran lain termasuk kepayahan untuk mencari pekerja. Ini kerana kerja buat kasut tidak glamour. Seramai 103 pekerja di syarikat ini ialah ‘otai’ atau orang lama, mereka memang minat dan sudah bekerja bertahun lamanya,” katanya.

Disebabkan itu, Kulitkraf sentiasa aktif mengintai peluang-peluang automasi terutama pencarian mesin-mesin baharu yang boleh digunakan untuk meningkatkan produktivi pengeluaran kasut dari setiap sudut walaupun masih memerlukan kemahiran pekerja.

Mengulas mengenai penyertaan Kulitkraf dalam program SIRIM-Fraunhofer, Mustafa berkata ia masih di peringkat awal yang mana SIRIM membantu dari segi audit. Bantuan khusus untuk meningkatkan keupayaan syarikat masih dibincangkan dan belum muktamad.