Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar Sdn. Bhd., Abdul Rashid Musa (gambar) berkata, Saga dan Persona terus menjadi model popular Proton, menguasai jumlah jualan dan menyumbang 70 peratus daripada jumlah jualan pada Mei lalu.

Katanya, prestasi jualan didorong oleh pengumuman cukai barang dan perkhidmatan (GST) berkadar sifar, ditambah dengan promosi ‘Kosong-kosong Proton’ yang menarik dengan pembia­yaan sifar peratus untuk tahun pertama dan ansuran tiga bulan percuma kepada pelanggan.

“Proton mencatatkan pe­gangan pasaran tidak rasmi sebanyak 8.8 peratus daripada bilangan jualan yang meningkat itu,” katanya dalam kenya­taan di sini hari ini.

Proton menyedari bahawa memiliki produk yang baik sahaja tidak mencukupi sekiranya tiada daya tarikan tambahan ditawarkan untuk menarik pelanggan berkunjung ke bilik pameran.

Oleh itu, Proton telah menambah baik rangkaian pengedar ke pusat 3S dan 4S yang akan membantu menghadapi cabaran pasaran dengan lebih positif.

Abdul Rashid berkata, Proton sedang me­laksanakan promosi Duit Raya sempena sambutan Hari Raya yang membolehkan pelanggan memiliki sebuah Saga dari bawah RM30,000 untuk harga jualan bersih iaitu tawaran harga terbaik dalam tempoh 10 tahun.

Jelas beliau, pihaknya menawarkan penjimatan sehingga RM4,000 untuk Iriz, Ertiga dan sehingga RM3,000 untuk Persona. Penjimatan yang ditawarkan adalah tambahan kepada GST berkadar sifar.

“Proton Ertiga merupakan pilihan utama dalam kalangan pelanggan kami kerana penggunaan bahan api yang begitu menjimatkan yang membolehkan anda berge­rak dengan lebih jauh.

“Ertiga adalah kereta yang pa­ling sesuai untuk sebuah keluarga dan sangat selesa untuk perjalanan jauh ke kampung halaman pada Hari Raya ini,” katanya.