AMEER ALI MYDIN
AMEER ALI MYDIN

Pengarah Urusannya, Datuk Ameer Ali Mydin berkata, peningkatan itu disebabkan oleh pembelian panik para pelanggan walaupun pihaknya telah menasihati tiada keperluan untuk berbuat demikian.

Kata beliau, sebagai peruncit dan pemborong terbesar di negara ini Mydin telah bersedia dengan pembelian stok daripada pembekal semasa tempoh cuti cukai.

“Kami sedia maklum bahawa SST akan dilaksanakan pada September, maka stok-stok jualan akan dibeli atau disediakan semasa tempoh cuti cukai untuk dibawa ke hadapan.

“Sebab itu kami bo­leh menjual barang pada harga yang murah berbanding pesaing-pesaing lain,” katanya kepada pemberita dalam majlis pelancaran kerjasama antara Mydin dan Boost di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Mydin, Datin Dr. Siti Hawa Mohd.; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Boost, Christopher Tiffin dan CEO Axiata Digital, Mohd. Khairil ­Abdullah.

Sementara itu, Ameer Ali optimis kerjasama dengan penyedia platform e-dompet tempatan, Boost akan memacu pertumbuhan jualan di samping menawarkan akses pembayaran lebih mudah kepada para pelanggan.

Menurutnya, kesemua 75 gedung borong dan runcit Mydin termasuk kedai premium, Sam’s Groceria di seluruh negara akan menerima pembayaran tanpa tunai bermula hari ini.

“Pembayaran tanpa tunai sangat mudah kerana pelanggan ha­nya perlu menambah nilai ke dalam aplikasi Boost untuk membuat pembayaran. Sekiranya baki dalam e-dompet tidak mencukupi mereka boleh membuat pembayaran secara tunai.

“Kami tidak berhasrat untuk menggunakan terlalu banyak aplikasi e-dompet lain bagi menge­lakkan kesesakan di kaunter. Selain itu langkah ini dapat mengatasi masalah yang membabitkan kecurian, kecuaian serta kehila­ngan wang selain meningkatkan kecekapan operasi di bahagian kaun­ter,” katanya.