Itu an­ta­ra rahsia kejayaan yang dikongsi Pengasas Gemilang Empire Sdn. Bhd., Mohd. Fahmi Mohd. Hatta ketika menceritakan kejayaannya merangkul gelaran juara kategori Chief Managing Consultant (Top Record Breaker – Whole Group) Zurich Takaful Malaysia Bhd. (Zurich Takaful) baru-baru ini.

Mohd. Fahmi berkata, selain daripada perkongsian ilmu dan pengalaman bersama ahli-ahli agensinya, semangat dan nilai kekeluargaan yang diterapkan di Gemilang Empire juga antara faktor yang membolehkannya berjaya sampai ke tahap itu.

“Hubungan sesama ahli agensi di Gemilang Empire sangat rapat, kami saling bantu-membantu antara satu sama lain untuk memahami sistem yang diguna pakai di syarikat,” katanya.

Beliau yang menjadikan kerjaya sebagai Konsultan Takaful Keluarga secara sepenuh masa sejak 2004 selepas menamatkan karier dalam sukan bola sepak mula menerima anugerah pertamanya, Million Dollar Round Table (MDRT) dua tahun selepas itu pada usia 26 tahun.

Kejayaan sebagai MDRT pada usia yang muda telah memotivasikan Mohd. Fahmi untuk terus serius dalam bidang takaful yang disifatkan satu bidang yang sangat mencabar.

“Waktu saya bermula sebagai Konsultan Takaful Keluarga ketika itu media sosial tidak sepopular hari ini, jadi ruang untuk mempromosikan produk juga terhad, tetapi hari ini saya boleh katakan media sosial juga antara platform yang sangat membantu kejayaan saya hari ini.

“Kejayaan ini juga adalah hasil daripada perjuangan penat lelah rakan-rakan di Gemilang Empire yang sentiasa terbuka untuk belajar dan membantu orang lain untuk berjaya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Seramai 461 Konsultan Takaful Keluarga Zurich Takaful diraikan dalam majlis gilang-gemilang bagi menghargai usaha mereka yang telah menjadi ahli agensi paling produktif 2017 de­ngan tema Malam Bintang Taka­ful (NOTTS) di Pusat Konvensyen Genting Highland.

Mohd. Fahmi berkata, anugerah yang diterimanya baru-baru ini turut memotivasikan dirinya untuk berusaha lebih keras mela­hirkan lebih ramai jaguh Top of the Table (TOT); Court of the Table (COT); Million Dollar Agency (MDA) dan Million Dollar Round Table (MDRT).

“Kejayaan ini bukan kejayaan saya seorang, saya tidak mahu jadi individu yang mementingkan diri dan oleh kerana itu lah saya ingin melahirkan seberapa ramai kosultan yang berjaya,” katanya.

Ketika ini syarikatnya Gemilang Empire memiliki seramai 369 Konsultan Takaful di seluruh negara dan yakin jumlah tersebut akan terus bertambah memandangkan industri takaful mempunyai potensi yang amat luas.

“Industri insurans dan takaful sememangnya mempunyai ba­nyak potensi untuk diteroka teru­tamanya golongan muda kerana ia memberi pulangan yang lumayan.

“Jika kita lihat kadar penembusan indstri takaful di Malaysia masih rendah iaitu pada paras sekitar 15 peratus, manakala insurans sekitar 55 peratus dan Bank Negara Malaysia mengunjurkan industri ini mencapai kadar 75 peratus menjelang 2020.

“Ini bermakna, ruang pasaran bagi takaful dan insurans itu amat besar dan boleh dimanfaatkan oleh ejen-ejen serta mereka yang berminat untuk menjadi ejen, jadi di sinilah peluang bagi saya juga sebagai Pengasas Gemilang Empire untuk membimbing mereka menjadi TOT, COT, MDA dan MDRT, ” katanya.