Peringatan tersebut disuarakan oleh Presidennya, Datuk Zainuddin Abd. Rahman yang kecewa dengan tindakan segelintir ahli persatuan itu sebelum ini didapati menjual Permit Import (AP) yang diterima semata-mata mahukan keuntungan.

Beliau menegaskan bahawa peluang yang diberikan oleh kerajaan bagi membantu usahawan automotif Melayu menerusi Dasar AP perlu diusahakan dengan baik, bukannya memanipulasi kelebihan diterima sehingga akhirnya memberi kesan tidak elok kepada persatuan itu sendiri.

“AP ini diberi untuk memperkasakan ekonomi orang Melayu dan bumiputera. Nama kita (Pekema) dirosakkan apabila ada ahli yang menjual AP kepada pihak ketiga.

“Urusan 'ali baba’ ini boleh merosakkan nama Pekema dengan memanipulasi macam-macam perkara daripada penjualan AP tersebut. Sehinggakan yang berniaga betul dalam persatuan juga terkena tempiasnya.

“Saya ingatkan, jangan lagi buat perkara sebegini yang boleh cemarkan nama baik Pekema. Ambil peluang yang telah diberikan oleh kerajaan untuk memperkasa ekonomi orang Melayu dan bumiputera dengan baik,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Zainuddin juga meminta ahli-ahli Pekema supaya memperbaiki sistem import kenderaan yang dijual bagi menjaga kredibiliti mereka dan juga persatuan berkenaan.

Untuk tujuan itu juga, Zainuddin memberitahu, Pekema telah melaksanakan Sistem Pengesahan Digital (DVS) berkuatkuasa 1 Ogos lalu yang memerlukan pemegang AP mengisi segala maklumat mengenai kenderaan import yang telah dibeli di luar negara seperti tahun dikeluarkan dan sejarah kenderaan berkenaan, sama ada pernah mengalami kemalangan atau tidak.

Katanya, peraturan baharu itu telah dipersetujui secara bersama dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

“Sistem ini diwujudkan bagi menjaga kredibiliti ahli-ahli perniagaan tempatan yang menjalankan aktiviti import kenderaan dari luar negara.

“Sistem ini juga bertujuan memastikan kesahihan urusan import kenderaan dan supaya kerajaan menerima jumlah cukai yang betul,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Zainuddin turut menyeru kerajaan supaya mengambil tindakan terhadap syarikat yang tidak menggunakan peluang seperti disyaratkan, daripada meletakkan semua kesalahan ke atas Pekema sebagai sebuah persatuan.

“Pekema telah mengambil inisiatif dengan melaksanakan DVS semata-mata mahu membantu menambah baik sistem sedia ada, tetapi pada masa sama, kami menyeru kerajaan atau pihak berkuasa bertanggungjawab mengambil tindakan terhadap pihak-pihak atau syarikat yang didapati melakukan penyelewengan dalam membawa masuk kenderaan import,” ujar beliau.