PUNB menerusi kenyataan hari ini memberitahu, Izwan yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains (Kewangan) dari Oklahoma State University, Oklahoma, Amerika Syarikat dan Diploma dalam Agribusiness, Universiti Putra Malaysia (UPM) dilantik bagi menggantikan Datuk Azhar Ahmad yang meletakkan jawatan pada 15 Oktober lalu.

“Sebelum ini, Izwan adalah Ketua Pegawai Operasi, Debt Venture di MyCreative Ventures Sdn. Bhd., sebuah syarikat pelaburan kerajaan yang ditubuhkan untuk merangsang industri kreatif negara.

“Beliau juga pernah menjadi Ketua Kumpulan Kewangan Korporat, Perbendaharaan dan Hubungan Pelabur di Proton Holdings Bhd. yang terlibat dalam merancang, menilai dan melaksanakan semua aktiviti korporat serta menambah dana untuk syarikat Kumpulan Proton termasuk Lotus Group International Limited,” kata kenyataan itu di sini hari ini.

Selain itu, beliau juga mempunyai pengalaman luas dalam bidang kewangan korporat pernah menyandang beberapa jawatan kanan di sektor perbankan iaitu di MIDF Amanah Investment Bank Bhd., RHB Sakura Merchant Bankers Bhd. dan Affin Merchant Bank Bhd.

“Pengerusi PUNB, Datuk Hazimah Zainuddin dan Ahli Lembaga Pengarah PUNB merakamkan ucapan tahniah atas pelantikan Izwan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif PUNB yang baharu dan berharap kepakaran dan pengalaman luas Izwan dapat dimanfaatkan bagi memantapkan kedudukan PUNB sebagai pusat kecemerlangan terulung dalam pembangunan keusahawanan bumiputera di negara ini,” kata kenyataan tersebut. - UTUSAN ONLINE