Pengarah Urusannya, Lin Fong Ming berkata, di bawah IPO itu, sejumlah enam juta saham baharu akan ditawarkan kepada orang awam di negara ini manakala 900,000 saham ditawarkan kepada kakitangan atau rakan perniagaan.

Katanya, sejumlah 5.3 juta saham lagi akan ditawarkan kepada pelabur terpilih yang diluluskan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

"Dana yang diperoleh daripada penyenaraian IPO syarikat pada penghujung April ini akan digunakan untuk modal kerja dan pengembangan operasi syarikat," katanya di sini hari ini.

Fong Ming berkata demikian pada majlis taja jamin IPO Focus Lumber bersama-sama Bank Islam Malaysia Bhd. (BIMB) dan BIMB Securities Sdn. Bhd. bagi pengapungan saham itu di Pasaran Utama Bursa Malaysia.

Turut hadir Pengerusi Focus Lumber, Aznam Mansor, Pengarah Urusan BIMB, Datuk Seri Zukri Samat, Pengerusi BIMB Securities Zahari Idris dan Ketua Eksekutif BIMB Securities, Rashid Ismail

Mengulas lanjut, Fong Ming berkata, dana baharu itu akan digunakan dalam memperkukuhkan operasi syarikat di dalam dan luar negara.

Menurutnya, produk syarikat tersebut pada masa ini banyak dieksport ke luar negara, berbanding dipasarkan dalam negara.

Katanya, pasaran Focus Lumber di luar negara ialah Amerika Syarikat, Taiwan, India, Korea, China, Australia, Jepun, Singapura, Asia Tengah dan Mexico.

Fong Ming berkata, bagi pasaran domestik, Focus Lumber memiliki pegangan pasaran sebanyak 22 peratus dan perkembangan bagi pasaran tersebut adalah sangat menggalakkan.