Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Berhad, Da­tuk Hasan Azhari Idris berkata, penyesuaian itu tidak dapat di­elakkan dan bukan pilihan kerana ia memberi banyak manfaat kepada perkem­bangan industri berkenaan.

HASAN AZHARI IDRIS
HASAN AZHARI IDRIS 

“Antara cabaran dalam mengantarabangsakan industri halal ialah berdepan de­ngan Industri 4.0. Kemajuan teknologi yang semakin pesat kini turut mengubah keadaan ekonomi dan pekerjaan,” katanya ketika berucap pada majlis town hall untuk kajian dan penyediaan Pelan Tindakan Hala Tuju Industri Halal Negeri Selangor 2018-2028 baru-baru ini.

Majlis itu bertujuan membentangkan perkembangan pembangunan Pelan Tindakan Khas Hala Tuju Industri Halal Negeri Selangor dan mendapatkan kerjasama pelbagai pihak bagi inisiatif-inisiatif yang telah dibangunkan di­rasmikan oleh Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor (UPEN), Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.

Hasan Azhari berkata, perkembangan industri halal di Malaysia pada hari ini secara keseluruhannya turut disokong oleh perkembangan industri kewangan Islam.

“Invest Selangor mengadakan perbincangan dengan Persa­tuan Institusi Perbankan Islam Malaysia (AIBIM) dan akan menjalin satu memorandum persefahaman bagi membantu serta memastikan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mendapat manfaat serta menjadi pemudah cara kepada bantuan dan sokongan ke­wangan.

“Sebagai makluman juga, mengikut statistik Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada masa kini sebanyak 2,063 buah syarikat mendapat pensijilan halal di Selangor dan dijangka meningkat kepada 2,475 (peningkatan 15 hingga 20 peratus) pada tahun berikutnya,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, beberapa inisiatif dan langkah awal akan dilaksanakan antaranya memperkasakan Halal International Sela­ngor (HIS) sebagai sebuah pusat latihan bagi melahirkan Halal Eksekutif dan Halal Auditor yang bertauliah.

Selain itu, katanya program galakan usahawan bagi mendapatkan pensijilan halal akan dipertingkat termasuk membantu PKS mendapatkan standard ISO, Analisis Kemudaratan Tahap Kritikal (HACP) dan Amalan Pengilangan Yang Baik (GMP) bagi membo­lehkan produk keluaran mereka menembusi pasaran antarabangsa.

Beliau berkata, Invest Selangor juga akan menget­engahkan program produk Made in Selangor menerusi penubuhan Selangor Halal Cosmetic Valley iaitu antara projek besar yang akan diba­ngunkan di Selangor pada 2019. – BERNAMA