Dijangka siap menjelang 2026, iaitu kira-kira sembilan tahun dari sekarang, projek berkenaan menjadi penanda aras kepada hasrat Malaysia untuk muncul sebagai negara berpendapatan tinggi.
MyHSR Corporation (MyHSR Corp), entiti pelaksana yang diberi tanggungjawab untuk mengendalikan projek tersebut, telah menggariskan perkembangan HSR dan peluang yang boleh direbut oleh syarikat tempatan dengan lebih terperinci untuk sama-sama membangunkan projek mega ini yang bakal menjadi mercu tanda baharu Malaysia.
Ikuti temu bual wartawan ZUNAIDAH ZAINON bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, DATUK SERI ABDUL RAHMAN DAHLAN dan Ketua Pegawai Eksekutif MyHSR Corp, MOHD. NUR ISMAL MOHAMED KAMAL.

UTUSAN: Difahamkan tender HSR setakat ini mendapat perhatian banyak syarikat luar negara antaranya Korea Selatan, Jepun dan China. Bila tender akhir akan dimuktamadkan?

ABDUL RAHMAN: Projek KL-SG HSR secara dasarnya dibaha­gi­kan kepada lima komponen. Perolehan atau tender untuk komponen yang berbeza akan diambil pada masa yang berlainan oleh pemilik masing-masing. Setakat ini, kami menjangkakan tender bagi AssetsCo akan dikeluarkan hujung tahun ini dan kemudiannya diikuti oleh tender bagi kerja-kerja pembinaan am.

Apakah peluang kepada syarikat tempatan dan bumiputera untuk merebut tender ini?

ABDUL RAHMAN: Projek ini dijangka melalui tiga fasa bagi kedua-dua kerja am dan sistem berkaitan teknologi iaitu fasa reka bentuk, pembinaan serta fasa ujian dan pelaksanaan. Bagi kerja-kerja reka bentuk am, setakat ini enam konsortium telah dilantik terdiri daripada syarikat perunding kejuruteraan tempatan dan asing untuk membantu dalam penyediaan Reka Bentuk Rujukan bagi projek kerja-kerja am di Malaysia.

Untuk reka bentuk tek­nologi dan sistem, MyHSR Corp dan Pihak Berkuasa Pengangkutan Darat (LTA) Singapura baru-baru ini melantik Joint Development Partner (JDP), yang juga terdiri daripada syarikat tempatan dan asing. Selain itu, MyHSR Corp juga akan membuka tender untuk InfraCo yang akan mematuhi dasar inklusif daripada kerajaan, dengan memberi keutamaan kepada syarikat-syarikat tempatan termasuk semua perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang berada dalam nilai rantaian untuk sama-sama meraih manfaat daripada pembinaan HSR.

Bagi fasa pembinaan, kami menjangkakan projek ini mampu menawarkan banyak peluang kepada syarikat-syarikat terlibat, antaranya dalam kerja-kerja berkaitan perundingan (kejuruteraan, perancangan utama, alam sekitar), kaji selidik dan penilaian, utiliti dan pengambilan tanah, kerja-kerja am (jambatan, terowong, stesen dan teknologi infrastruktur), operasi dan penyenggaraan, per­khidmatan keselamatan, perkhidmatan teknologi serta perkhidmatan mekanikal dan elektrikal.

Bagaimana pula dengan peluang-peluang baharu yang boleh diwujudkan menerusi pelaksanaan projek HSR ini?

ABDUL RAHMAN: Menerusi pelaksanaan SDF, ia dilihat akan merangsang perubahan ke arah memastikan kesejahteraan masyarakat tempatan dari pering­kat awal lagi dengan memberi fokus kepada keterangkuman dan kemampanan seiring dengan pembangunan ekonomi. Ini merangkumi bidang seperti latihan kemahiran dan akses kepada pekerjaan, perumahan mampu milik dan pengangkutan awam. Dari segi peluang baharu pula, ia membolehkan komuniti tempatan membina kemahiran, memperkukuhkan bidang keusahawanan sekali gus membantu mencapai pendapatan tinggi.

Kami juga melihat projek ini dapat mendorong kerjasama perdagangan dan pertumbuhan dari segi bakat dan kepakaran baharu, justeru membolehkan pemindahan teknologi memberi manfaat kepada syarikat-syarikat tempatan dan memperluas bakat sedia ada.

Apakah perkembangan terkini projek HSR ini?
MOHD. NUR ISMAL: Projek HSR dimulakan antara Malaysia dan Singapura pada 2013, apabila Perdana Menteri kedua-dua buah negara mengumumkan persetujuan mereka untuk bekerjasama dalam projek ini. MyHSR Corp kemudiannya dibentuk pada 2015 dan perjanjian persefahaman serta Perjanjian Dua Hala kedua-duanya ditandatangani pada 2016. Untuk makluman, enam Perun­ding Reka Bentuk Rujukan (RDC) juga telah dilantik pada April lalu. Sebelum itu, JDP telah dilantik pada Februari lalu. 

Baru-baru ini juga, MyHSR Corp dan LTA telah mengumumkan bahawa satu taklimat industri akan diadakan pada Julai tahun ini sebagai persediaan untuk tender AssetsCo bagi projek KL-SG HSR. Taklimat industri ini merupakan satu platform bagi MyHSR Corp dan LTA untuk berkongsi ciri-ciri penting projek tersebut, di samping parameter dan spesifikasi teknikal tender AssetsCo.

Buat masa ini, kami sedang bekerjasama erat dengan agensi Persekutuan dan negeri untuk memuktamadkan koridor yang bersesuaian bagi kelulusan undang-undang. Kami menjang­­­­­k­akan proses pen­gambilan tanah akan bermula tidak lama lagi. 
Kami juga amat gembira kerana mendapat sokongan daripada pelbagai pihak termasuk Kerajaan Persekutuan, negeri dan juga pihak swasta. 
Dalam masa sama, Rangka Kerja Pembangunan Strategik (SDF) bagi projek ini turut dibentuk bersama Unit Perancang Ekonomi (EPU) di bawah Jabatan Perdana Menteri. SDF merupakan pelan yang menggariskan hala tuju dan memastikan pembangunan sosio-ekonomi yang mapan di sepanjang Koridor HSR dengan tumpuan kepada tiga komponen teras iaitu ekonomi, keterangkuman dan kemampanan.

Bagaimana pemindahan tek-nologi daripada syarikat asing akan memberi manfaat kepada syarikat tempatan dan pada masa sama membawa masuk kepakaran baharu?
MOHD. NUR ISMAL: Pelantikan enam konsortium terdiri daripada syarikat perunding kejuruteraan tempatan dan asing untuk membantu penyediaan RDC bagi kerja-kerja am dan lantikan konsortium bagi reka bentuk teknologi dan sistem dilihat dapat memberi manfaat kepada bakat dan syarikat-syarikat tempatan dengan adanya peluang kerjasama yang diwujudkan.

Berapa peringkat fasa HSR sehingga ia siap sepenuhnya pada 2026?
MOHD. NUR ISMAL: Banyak kerja yang perlu dilaksanakan sebelum projek ini boleh disiapkan seperti dijadualkan. Secara ringkasnya, saya bahagikan projek ini kepada tiga fasa utama iaitu: 

  • Reka bentuk-Ketika ini sedang berjalan dan sepatutnya tamat dalam tempoh dua tahun
  • Pembinaan-Dijangka bermula pada 2019
  • Ujian dan Pelaksanaan-Menggabungkan ujian ‘offsite’ dan ‘onsite’ yang teliti sebelum pelancaran perkhidmatan pada 2026.