Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Toichi Ishiyama berkata, sejak dilancarkan pada Januari 2019, tempahan meningkat dan mencecah hampir 4,000 tempahan.

Katanya, Honda Malaysia sudah menghantar lebih 3,000 unit HR-V baharu kepada pe­langgan.

“Lembah Klang menyumbang jualan tertinggi sebanyak 47 peratus membuktikan HR-V baharu sesuai untuk pemanduan bandar diikuti wilayah selatan, 18 peratus dan utara (18 peratus).

“Passion Red Pearl merupakan pilihan warna baharu dan ia menyumbang 28 peratus kepada keseluruhan jualan HR-V baharu,” katanya dalam kenya­taan di sini hari ini.

HR-V baharu ditawarkan dalam empat varian iaitu Hybrid, RS, V dan E. Varian petrol dijana enjin 1.8L SOHC i-VTEC bersama transmisi berubah-ubah berterusan (CVT).

Menurut beliau, HR-V mula mendapat populariti sejak pertama kali dilancarkan pada 2015.

Jelasnya, barisan varian HR-V baharu ditawarkan disasarkan untuk memenuhi permintaan dan keperluan pelanggan yang mementingkan prestasi, kecekapan bahan api dan praktikal.

“Varian baharu, HR-V RS juga diterima baik walaupun kali pertama diperkenalkan di Malaysia.

“Varian RS yang menampilkan rim aloi dwi tona 18 inci, reka bentuk gril depan sporty, kit bampar depan dan belakang hitam, ciri pemanduan sistem stereng Nisbah Gear Variabel (VGR), juga diterima baik ter­utama pembeli lelaki,” katanya.