Ketua Pemasaran dan Jualan AustAsia Food, pengedar Greenfields Milk, Jan Gert Vistisen, berkata, syarikat berkenaan menguasai pasaran susu segar yang besar di Indonesia dan baru sahaja melancarkan susu segar kami di kedai runcit di Malaysia, termasuk Kuala Lumpur.

"Hari ini, Malaysia masih merupakan pasaran baharu kepada kami. Singapura dan Hong Kong adalah pasaran sangat penting dan di Indonesia, kami menguasai pasaran susu segar yang besar, iaitu 30 hingga 35 peratus daripada pasaran runcit di republik itu.

"Kami percaya kami mempunyai pasaran yang besar di Malaysia kerana setiap pengguna minum lebih 50 liter susu segar setahun.

"Di Indonesia hanya lapan liter. Di Singapura mereka hanya minum 32 liter, oleh itu terdapat pasaran yang besar di Malaysia," katanya ketika ditemubual baru-baru ini.

Vistisen, yang mempunyai 20 tahun pengalaman dalam industri barangan pengguna di Asia berkata, Greenfields Milk sudah mula membekalkan susu segar kepada Gloria Jeans Coffee Bean di Malaysia November lalu dan juga melancarkan jualan susu segarnya di pasar besar Giant dan Cold Storage di Kuala Lumpur.

"Kini, kami menghasilkan kira-kira dua juta liter setahun dan saya berharap dalam tempoh tiga hingga empat tahun, kami akan menghasilkan 10 juta liter," katanya.

Beliau berkata, jika Greenfields dapat memasarkan produknya 10 juta liter dalam masa terdekat, anda mungkin akan dapat melihat kami membuka ladang ternakan di Malaysia, tetapi kami mahu meningkatkan pasaran dulu.

"Kami sebenarnya telah membawa penternak dari Malaysia ke ladang kami di Indonesia bagi melatih mereka mengenai cara penternakan yang baik. Berikutan itu kami mempunyai hubungan amat baik dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS)," katanya.

Vistisen berkata, unjuran kadar pertumbuhan tahunan untuk Malaysia ialah empat peratus, manakala Indonesia berkembang kira-kira 18 dan 20 peratus dan Singapura kira-kira tujuh peratus.

Vistisen berkata, beliau tidak menjangka sebarang pelaburan besar dalam pengeluaran ternakan atau pengeluaran susu di Malaysia.

Menurutnya, Greenfields Milk telah mendapat kelulusan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan DVS awal November lalu untuk mengeksport keju ke negara itu.

Ditubuhkan pada 1997 oleh pengusaha Australia dan Indonesia, syarikat mengedarkan susu dan produk tenusu kepada beberapa syarikat perkhidmatan makanan utama di Asia dan dunia.

Bermula dengan sebuah ladang di Malang, Jawa Timur, kini berkembang kepada pemprosesan susu dua tahun kemudian dan kini ia mengedarkan produk di Indonesia, Malaysia, Singapura, Hong Kong dan Filipina. — BERNAMA