Pengerusi yang juga Ketua Pegawai Eksekutif GE, John Flannery mengesahkan komitmen terbaharu itu malah turut mengumumkan pembukaan Kaunter Perkhidmatan Teknologi Maklumat (IT) Global syarikat tersebut di ibu pejabatnya di sini.

GEESM, pusat penyediaan perkhidmatan enjin pesawat, akan memeterai perjanjian sewaan jangka panjang dengan Impeccable Vintage Properties (IVP), anak syarikat milik penuh Malaysia Aviation Group Berhad, mengikut terma-terma yang dipersetujui bersama berkaitan fasiliti GEESM di Subang.

Perjanjian jangka panjang ini adalah sebahagian daripada pelan GEESM untuk melabur dalam perkakasan, pengujian dan kemahiran bagi menyokong penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) enjin canggih CFM International LEAP.

Perjanjian persefahaman (MoU) itu ditandatangani oleh Pengarah Urusan GEESM, Suresh Kumar Shunmugam dan Pengarah IVP, Nik Azli Abu Zahar, dengan disaksikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Darell Leiking serta Ketua Setiausaha MITI, Datuk Isham Ishak. Hadir sama, Flannery dan Presiden yang juga CEO GE APAC, Wouter Van Wersch serta CEO GE Malaysia, Datuk Mark Rozario.

Enjin LEAP, yang dihasilkan secara usahasama 50/50 di antara GE dan Safran Aircraft Engines, digunakan oleh pesawat seperti Boeing 737 MAX, Airbus A320neo dan jet Comac C919. Kerja-kerja MRO ke atas LEAP akan membuka lembaran baharu terhadap pencapaian kejuruteraan bengkel GEESM di Subang, menjadikannya fasiliti pertama yang menawarkan servis itu untuk GE di luar Amerika Syarikat.

GE Aviation di Malaysia mula bertapak 25 tahun lalu apabila syarikat penerbangan nasional, Malaysia Airlines menggunakan enjin GE untuk pesawat A300 dan DC10 miliknya.

Ditubuhkan pada 1997, fasiliti GEESM di Subang dibangunkan sebagai pusat kecemerlangan bagi enjin CFM56. Hari ini pusat itu menyediakan pekerjaan kepada 300 tenaga kerja berkemahiran tinggi, menyediakan servis MRO kepada 40 syarikat penerbangan di seluruh dunia. - UTUSAN ONLINE