Fuji Xerox Eco-Manufacturing adalah pusat Sistem Kitar Semula Sumber Antarabangsa Fuji Xerox di Thailand.

Ketua Kemapanan Fuji Xerox Asia Pacific Pte. Ltd., Amanda Keogh berkata, syarikat itu telah melabur RM13.5 juta untuk kilang itu.

Beliau berkata untuk meningkatkan keuntungan syarikat, Fuji Xerox perlu meningkatkan pengilangan semula dan kebergunaan semula produknya.

"Malaysia dan lapan negara lain di Asia-Pasifik akan mengumpulkan peranti Fuji Xerox yang lama dan menghantarnya ke fasiliti kitar semua di Thailand itu," katanya dalam satu taklimat selepas lawatan media ke kilang itu semalam.

Beliau berkata, peranti yang lama itu kebanyakannya terdiri daripada bahagian fotokopi dan kartrij dihantar ke Chonburi untuk di ubah suai, diperbaiki atau dilupuskan.

Sementara itu, Pengurus Besar Kumpulan Fuji Xerox Eco-Manufacturing, Yoshihiro Sasaki berkata, sistem kitar semula itu telah mencapai sasaran sifar tapak pelupusan daripada pembuangan produk terpakai.

"Kilang itu meleraikan dan mengasingkan produk kepada 88 kategori termasuk keluli, aluminium, kanta, kaca dan tembaga untuk kitar semula.

"Pada Ogos 2000, syarikat ini menjadi syarikat pertama di Jepun yang mencapai sasaran sifar tapak pelupusan daripada produk terpakai yang dikumpulkan," katanya.

Sasaki berkata, Fuji Xerox adalah syarikat pertama dalam industri ini untuk memperkenalkan produk yang mengandungi bahagian kitar semula ke pasaran Jepun pada 1995.

Fuji Xerox memperkenalkan sistem kitar semula sepenuhnya berkualiti serupa dengan kilang di Jepun, di Thailand pada Disember 2004, dan kemudian di Suzhou, China pada Januari 2008.

"Fuji Xerox komited untuk mengukuhkan Sistem Kitar Semula Bersepadu, yang merupakan model canggih untuk mencapai pertumbuhan perniagaan dan pemuliharaan alam sekitar pada masa yang sama," katanya.

Beliau memberi jaminan bahawa Fuji Xerox akan terus mengekalkan kualiti dalam pengeluaran mesin fotokopi, pencetak dan kartrij walaupun dibuat daripada bahan kitar semula. - BERNAMA