Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Haris Fadzilah Hassan berkata, jumlah rosot nilai kumpulan sebanyak RM966 juta, sebahagian besarnya disebabkan oleh Asian Plantation Ltd., FGV Green Energy Sdn. Bhd. dan Cambridge Nanosystems Ltd.

Katanya, rosot nilai daripada tiga syarikat itu berjumlah RM700 juta seterusnya meng­heret keputusan kewangan tahun kewangan 2018 meskipun kumpulan merekodkan kemajuan dalam pelan pemulihan.

“Di peringkat strategik, rancangan untuk melupuskan perniagaan bukan teras sedang dilakukan begitu juga, usaha penyusunan semula tenaga kerja sedang dilaksanakan,” katanya selepas mengumumkan keputusan kewangan FGV di sini hari ini.

FGV mencatatkan kerugian sebelum zakat dan cukai sebanyak RM1 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018 sebahagian besarnya di­sebabkan rosot nilai dan peruntukan berjumlah RM1.04 bilion.

Prestasi FGV terkesan de­ngan harga minyak sawit mentah (MSM) pada harga purata RM2,053 satu tan metrik (MT) pada suku disemak, 24.6 peratus lebih rendah berbanding RM2,723 MT (suku keempat 2017).

Bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2018 FGV menca­tatkan kerugian sebelum zakat dan cukai sebanyak RM139 juta disebabkan rosot nilai dan peruntukan berjumlah RM240 juta.

Pendapatan pada suku keempat juga menurun selari dengan penurunan harga minyak sawit mentah (MSM) kepada RM3.2 bilion berbanding RM4.3 bilion pada suku sama tahun 2017.

Pada suku keempat, pengeluaran buah tandan segar (BTS) jatuh sebanyak tiga peratus kepada 1.15 juta MT daripada 1.18 juta MT.

Sektor gula pula mencatatkan kerugian sebanyak RM13 juta pada suku keempat, berbanding keuntungan sebanyak RM24 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya.

Usaha penanaman semula FGV juga bakal menormalkan profil usia pokok sawit menjelang 2026. Pada 2019, FGV menyasar menanam semula 15,000 hektar kawasan dengan sawit.