Komitmen itu diterjemahkan melalui penganjuran kempen meningkatkan kualiti BTS di seluruh negara secara tersusun dan berterusan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Zakaria Arshad berkata, Kumpulan FGV mempunyai hubungan yang rapat dengan pihak peneroka dan pekebun kecil kerana dua pertiga daripada keseluruhan BTS yang diproses oleh FGV dibekalkan oleh mereka dalam operasi harian syarikat itu.

“FGV telah menetapkan matlamat jangka panjang untuk mencapai pertumbuhan kadar perahan minyak (OER) sehingga 22 peratus menjelang 2020. Matlamat ini hanya mampu dicapai dengan kerjasama daripada pelbagai pihak berkepentingan.

“Selain dapat meningkatkan kualiti BTS yang dihantar ke kilang dan meningkatkan kadar purata OER, kempen seperti ini juga dilihat dapat membantu meningkatkan pendapatan peneroka dan pekebun kecil untuk jangka masa panjang dengan mengamalkan cara pengurusan ladang terbaik,” katanya dalam ucapan pada pelancaran Kempen Meningkatkan Kualiti BTS 2017 di Kilang Sawit Serting Hilir, dekat sini hari ini.

Majlis pelancaran itu disempurnakan oleh Pengerusi FGV, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad.

Yang turut hadir Pengarah Besar Felda, Datuk Hanapi Suhada dan wakil Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Seremban, Mohammad Jasni Satar.

Kempen dilancarkan serentak di seluruh negara itu yang bertemakan 'BTS Berkualiti Pulangan Tertinggi' bertujuan menggalakkan semua pembekal berusaha mencapai kualiti ditetapkan iaitu BTS yang 100 peratus masak dan selaras dengan Manual Penggredan Buah Kelapa Sawit MPOB Edisi Ketiga.

Para pembekal BTS juga di­terangkan mengenai sistem penggredan, faktor-faktor yang menyebabkan hasil dikenakan penalti serta peranan Jawatankuasa Permuafakatan Peningkatan Kualiti (JPPK) di dalam menentukan kualiti BTS.

Zakaria berkata, FGV juga ber­kongsi kepakaran mengenai pe­ngurusan ladang terbaik bermula daripada kaedah penanaman, penjagaan pokok hingga pengeluaran bagi memastikan hasil BTS yang lebih produktif.

“Penerangan mengenai kualiti BTS ini sangat penting kerana terdapat banyak kekeliruan mengenai cara penggredan dan harga yang dibayar. Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan kualiti BTS terjejas seperti buah mengkal, busuk dan sebagainya.

“Kami sentiasa komited untuk berkongsi pengalaman dan kepakaran dengan pihak pembekal bagi memastikan kualiti BTS yang terbaik dan dalam masa yang sama dapat mening­katkan pendapatan mereka,” jelasnya.