Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Interim FGV, Datuk Wira Azhar Abdul Hamid berkata, dalam keadaan harga minyak sawit mentah (MSM) yang tidak menentu, inisiatif itu selari dengan strategi kumpulan untuk fokus kepada aktiviti hiliran.

Katanya, ia memastikan FGV mengoptimumkan penggunaan produk sampingan daripada operasi sedia ada untuk mencipta nilai kepada kumpulan.

“FGV menghasilkan 3.47 juta tan tandan buah kosong setahun daripada 68 buah kilang sawit di seluruh Malaysia. Projek hijau ini juga selari dengan inisiatif sisa ke nilai dalam usaha memastikan kemapanan operasi kami.

“Dengan MoU ini, FGV berharap dapat meneroka peluang untuk mengintegrasikan operasi kilang dengan kepakaran kejuruteraan CMEC bagi membangunkan fasiliti pengeluaran kertas pulpa dengan kapasiti sebanyak 50,000 tan metrik setahun (Fasa 1),” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Perniagaan utama CMEC adalah dalam bidang kontrak kejuruteraan, pakar dalam pembinaan projek jana kuasa dan turut merangkumi perdagangan, pelaburan, penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan perkhidmatan antarabangsa.

CMEC juga bekerjasama dengan institut penyelidikan di Hangzhou dan Guangxi, menggunakan teknologi untuk menukar tandan buah kosong kepada kertas pulpa untuk dikomersialkan.

Ketika ini CMEC disenaraikan di Hong Kong Stock Exchange dengan modal pasaran sebanyak HKD15.88 bilion (RM8.58 bilion).

Industri kertas dan pulpa China telah berkembang pesat dengan mencatatkan pertumbuhan sebanyak 182.3 peratus dari 2006 hingga 2016. - UTUSAN ONLINE