FGV sendiri mempunyai genetik hampir sama dengan FELDA, dan sehingga hari ini masih terus bekerjasama rapat dengan pekebun kecil dan peneroka, yang membantu menghubungkan petani dengan pasaran.

“Malah, FGV diakui sebagai antara badan penyokong terbesar pekebun kecil di dunia,’’ kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Zakaria Arshad hari ini.

Selepas enam tahun penyenaraian FGV di Bursa Malaysia, FELDA kekal sebagai pemegang saham terbesar manakala peneroka kekal sebagai pihak berkepentingannya, katanya merujuk artikel yang disiarkan oleh sebuah media tempatan pada 3 Julai lalu bertajuk ‘GV Holdings jangan guris hati peneroka - ANAK’.

Zakaria berkata, FGV bertekad untuk memperjuangkan semua isu berkaitan pekebun kecil di peringkat antarabangsa, terutama ketika peluang industri untuk beroperasi dicabar atas beberapa sebab tertentu.

“FGV sentiasa menghormati kedudukan pembekal Buah Tandan Segar (BTS) yang terdiri dalam kalangan pekebun kecil, termasuk peneroka, dan kami akan bekerja keras untuk memelihara serta menguatkan hubungan kami dengan mereka,” katanya.

Beliau berkata, FGV menyokong lebih 112,000 peneroka FELDA yang menghasilkan dan membekalkan satu pertiga BTS daripada keseluruhan BTS yang diproses. Satu pertiga lagi diperoleh daripada 350,000 hektar ladang yang diurus oleh FGV di bawah Perjanjian Sewa Tanah (LLA) dengan FELDA.

“FGV juga membayar M250 juta setahun kepada FELDA untuk pajakan tanah ini. Selain itu, FGV juga berkongsi 15 peratus keuntungan tahunan daripada tanah berkaitan LLA dengan Felda. Setiap tahun sejak penyenaraiannya, FGV tidak pernah gagal membayar dividen kepada pemegang saham.” kata Zakaria.

Katanya, FGV mahu menjelaskan bahawa pada 1 Jun 2018, KPF memiliki 5.15 peratus kepentingan dalam FGV atau 187,966,608 saham, dan bukan 800 juta saham seperti yang dilaporkan media.

“Kami akan terus berusaha untuk memastikan semua pemegang saham memperoleh manfaat daripada pertumbuhan dan kejayaan FGV,” katanya. – BERNAMA